Berita Utama

Keciciran literasi bahasa Melayu di kalangan murid membimbangkan

Wujudkan panduan terperinci untuk ibu bapa bimbing anak membaca, menulis

BANGI, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Normarini Norzan meluahkan kebimbangan berhubung situasi keciciran literasi bahasa Melayu yang berlaku ketika ini.

Bahkan, di kalangan murid penutur asli bahasa Melayu sendiri berdepan masalah keciciran literasi ini sepanjang proses Pembelajaran dan Pengajaran Dari Rumah (PdPR).

Dr Normarini berkata, murid yang keciciran itu pastinya menghadapi masalah dalam subjek lain, selain berdepan kesukaran berkomunikasi dan bersosialisasi dengan baik dalam bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan perhubungan.

“Bayangkan jika murid berusia enam tahun ketika pandemik COVID-19 diisytiharkan, mereka kini berumur lapan tahun, tetapi masih ada belum mahir membaca dan menulis kesan tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka di sekolah.

“Generasi murid era pandemik COVID-19 pastinya berbeza kerana mereka lebih banyak berkurung di rumah dalam tempoh dua tahun ini, sekali gus menghabiskan banyak masa dengan permainan dalam aplikasi internet atau media sosial,” katanya dalam tulisan yang disiarkan BHOnline.

Malah, katanya, keadaan itu turut membuatkan murid terkesan dengan pengaruh gajet dan media sosial yang lebih sering menggunakan bahasa Inggeris.

Bagi mengelakkan keciciran literasi bahasa Melayu menjadi lebih parah, Dr Normarini mengesyorkan ibu bapa dan guru memberikan perhatian kepada kepincangan literasi anak. 

Beliau berkata, antara intervensi yang boleh dilaksanakan dalam menangani perkara ini adalah mewujudkan panduan terperinci untuk ibu bapa dalam membimbing anak untuk membaca dan menulis. 

“Satu standard panduan literasi membaca dan menulis boleh dibangunkan untuk membantu ibu bapa, guru serta murid dalam menangani permasalahan ini.

“Proses pemulihan kepada literasi murid bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah, bahkan kemahiran anak juga perlu dipantau ibu bapa di rumah. 

“Ini kerana kedua-dua pihak perlu mempunyai hubungan komunikasi baik, sekali gus saling membantu serta melatih murid secara konsisten.

“Realitinya, isu keciciran literasi bahasa Melayu boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama membantu anak keciciran dalam literasi bahasa dengan keupayaannya masih boleh dikuasai kembali sekiranya ada kerjasama semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button