Amerika SyarikatDuniaEropah

Russia pula usir 60 diplomat Amerika, tutup pejabat konsulat

Moscow bertindak balas langkah Washington halau 60 diplomat di AS

MOSCOW, 12 Rejab 1439H, Jumaat – Russia hari ini bertindak balas terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu yang mengusir 60 kakitangan diplomatiknya di Washington dan menutup pejabat konsulat di Seattle.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Russia, Kremlin memberi notis pengusiran 60 diplomat AS – 58 di pejabat kedutaan AS di Moscow dan dua di pejabat konsulat AS di Yekaterinburg – supaya keluar dari negara itu sebelum 5 April ini.

Pada masa sama kenyataan itu berkata, Moscow juga membatalkan permit kepada pejabat konsulat AS di St Petersburg – bermakna ianya mesti ditutup – serta mengeluarkan notis bantahan kepada Duta AS di Moscow, Jon Huntsman, mengenai apa yang mengatakan tindakan AS terhadap Russia adalah keterlaluan dan tidak wajar.

Kenyataan itu berkata, tindakan diambil Moscow berdasarkan prinsip timbal balas.

Di WASHINGTON DC, Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert berkata, tindakan Russia itu menunjukkan Moscow tidak berminat untuk berbincang.

“Tidak ada justifikasi terhadap tindak balas Russia. Langkah kami semata-mata bermotifkan serangan yang dilakukan di Britain – serangan menyasarkan rakyat British dan anaknya,” katanya.

Beliau berkata, AS mempunyai hak untuk mengambil tindakan lain berikutan keputusan Russia itu.

Isnin dan Selasa lalu, 24 negara Eropah bersama AS, Kanada dan Australia, menghalau 120 diplomat Russia bagi menunjukkan solidariti bersama Britain selepas bekas ejen perisik Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia diracun menggunakan agen saraf di selatan England.

Britain menuduh Russia bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukan di tanah kedulatannya.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengumumkan tujuh pegawai yang bertugas dalam misi bersama Russia juga perlu meninggalkan misi itu.

Minggu lalu, London menghalau 23 diplomat Russia dan Moscow kemudian bertindak balas dengan langkah sama. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close