Berita Utama

23 lagi jemaah umrah terkandas selamat tiba di Malaysia

Urusan bawa pulang dilaksana ikut peraturan ditetapkan Arab Saudi

BANGI, 17 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Seramai 23 lagi jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi telah selamat tiba di tanah air hari ini, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata, kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.20 tengah hari ini, menerusi penerbangan Malaysia Airlines dari Jeddah, Arab Saudi.

Menurut kementerian, dengan ketibaan ini, kerajaan Malaysia telah membawa pulang kesemua 63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.

“Kumpulan pertama seramai 36 orang telah tiba pada 4 November 2022 diikuti dengan kumpulan kedua seramai empat orang yang tiba pada 7 November yang lalu.

“Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam membantu usaha berkenaan.

Pada masa sama, kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button