Berita UtamaUtama

‘Mat Kilau’ angkat industri filem negara ke tahap lebih tinggi

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

HULU KELANG, 11 Rejab 1439H, Khamis – Mat Kilau adalah seorang tokoh pahlawan Melayu yang berani menentang penjajah British.

Filem Mat Kilau akan memaparkan kisah perjuangannya untuk dijadikan sumber inspirasi perjuangan orang Melayu hari ini, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata, filem pertama terbitan syarikatnya mendapat sentuhan pengarah terbaik yang telah mendapat pelbagai anugerah, Syamsul Yusof.

“Kita juga mendapat sokongan Finas dan Skop Production untuk menjayakan filem ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Filem Mat Kilau di Dataran Karyawan Finas di sini malam ini.

Katanya, Studio Kembara berhasrat menerbitkan filem bermutu sekaligus akan mengangkat industri perfileman negara ke tahap lebih tinggi mengatasi negara lain.

“Saya yakin kita boleh lakukan yang terbaik dan filem ini adalah hadiah untuk perjuangan orang Melayu khususnya di Pahang,” katanya.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah Sultan Haji Ahmad dengan paluan gong sebanyak tiga kali.

Penggambaran filem akan bermula pada bulan April selama dua bulan di negeri Perak.

Ia dibintangi oleh Datuk Adi Putra selaku watak utama dan dibantu pelakon Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari, Farid Amirul, A Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie.

Penerbit filem adalah Shahruddin Mt Dali, yang juga merupakan penulis skrip filem ini.

Pengarah filem, Syamsul Yusof berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa nama tokoh besar yang kian dilupakan dalam filem epik pertama arahannya.

“Sudah lebih 10 tahun saya dalam bidang pengarahan, Mat Kilau adalah filem ke-11 bagi saya, filem ini tak boleh dibuat main-main, tanggungjawab lebih besar saya pikul menerusi filem ini,” katanya.

Studio Kembara adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2013 yang memberi fokus kepada penerbitan filem dan rancangan televisyen yang bercirikan hiburan dan pendidikan, yang akan membangunkan minda masyarakat dengan nilai-nilai murni dan berfaedah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close