Tarbiyah

Menjadi mulia dengan al-Quran

Pelajarilah al-Quran dan ajarilah kepada orang lain

ANDAI kita ingin menjadi orang yang terbaik di sisi Rasulullah ﷺ, maka pelajarilah al-Quran dan ajarkan ilmu al-Quran kepada orang lain. Perkara ini disebutkan oleh Rasulullah ﷺ dalam sabdanya:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)” (HR al-Tirmizi)

2. Tahukah kita tentang kisah seorang Tabi’i bernama Abu Abdul Rahman al-Sullami? Beliau adalah Tabi’i yang benar-benar mengamalkan hadis yang diungkapkan oleh Baginda Nabi di atas. Beliau menjadi guru al-Quran sejak dari zaman pemerintahan Saidina Uthman sehinggalah pada zaman al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi. Dan beliau menegaskan:

وَذَاكَ الَّذِي أَقْعَدَنِي مَقْعدِي هَذَا
Dan hadis inilah yang menyebabkan aku duduk di tempatku ini (selama ini).

3. Tahukah kita bahawa Saidina Abu Musa al-Asy’ari konsisten mengajarkan al-Quran sekalipun setelah dilantik menjadi Gaboner Basrah? Perkara ini direkodkan oleh Ibn Sa’ad yang menyebutkan bahawa Abu Musa mengirim wakilnya untuk menghantar laporan kepada Saidina Umar yang menjadi Khalifah ketika itu. Lalu Umar bertanya kepada wakil datang bertemu dengannya itu:

كيف تَرَكْتَ الأَشْعَرِيَّ؟ فقلتُ له: تَرَكْتُهُ يُعَلِّمُ الناس القرآن
“Bagaimana engkau meninggalkan Abu Musa al-Asy’ari (Gabenor Basrah) (ketika engkau bertolak tadi)? Wakil itu menjawab: Aku tinggalkan beliau dalam keadaan beliau mengajarkan al-Quran kepada manusia. (Ibn Sa’ad)

4. Oleh yang demikian, pelajarilah al-Quran dan ajarilah al-Quran kepada orang lain. Paling kurang, ajarkan kepada anak-anak kita membaca al-Quran. Kita akan menjadi mulia dengan mengajar al-Quran dan mengamalkannya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button