Berita UtamaUtama

Banding epal dengan epal bukan limau, Tun M bidas Jazlan

Jika RoS haramkan parti UMNO, baru adil antara dulu dan sekarang

BANGI, 11 Rejab 1439H, Khamis – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika pentadbirannya dahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mampu bertindak secara bebas tanpa dihalang kerajaan.

Namun katanya, di zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, RoS hanya mengganggu parti lawan.

“Di zaman saya, RoS mengharamkan parti UMNO walaupun kerajaan ketika itu didirikan oleh UMNO. Dapatkah RoS haramkan UMNO sekarang?

“Jika kerajaan yang didirikan UMNO, RoS haramkan, baharulah sama dengan apa yang terjadi di zaman saya. Baharu ada bandingan antara dahulu dengan sekarang antara epal dengan epal,” katanya dalam tulisan terbaharu di laman blognya, chedet.cc.

Beliau berkata demikian menyelar kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggelarnya sebagai ‘Bapa Berita Palsu’ kerana berterusan menyalahkan kerajaan dan RoS berhubung masalah yang dihadapi oleh partinya, Bersatu.

Jazlan berkata, Dr Mahathir harus ingat peristiwa yang menyebabkan UMNO diisytiharkan haram pada 1988 ketika beliau menjadi perdana menteri, menteri dalam negeri dan presiden parti itu.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau tidak lupa akan perkara itu, tetapi Jazlan yang tidak faham dan membuat bandingan antara epal dengan limau dan berpendapat epal dengan limau adalah sama.

“Nur Jazlan tak faham apabila membuat bandingan untuk sokong hujah. Mungkin orang muda ini tak pernah dengar pepatah itu,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim memberi tempoh 30 hari bagi menjawab Notis Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang dikemukakan jabatan tersebut kepada Bersatu atau pendaftarannya terpaksa dibubarkan.

Bersatu diperlukan untuk menghantar minit mesyuarat cawangan dan bahagian parti serta laporan kewangan kepada RoS menurut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close