Berita Utama

411 pelajar positif dadah dalam tempoh 2 bulan

403 kes dikesan hasil saringan air kencing, 8 kes tangkapan polis

KUALA LUMPUR, 8 Rejab 1439H, Isnin – Seramai 411 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dikesan positif dadah bagi tempoh 2 bulan pertama tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 403 kes dikesan melalui hasil saringan ujian air kencing dilakukan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala 8 kes melibatkan tangkapan polis.

“Kebanyakan kes dadah terjadi di luar kawasan sekolah… tetapi kita mengenal pasti golongan (pelajar) berisiko tinggi ini dan kita lakukan ujian air kencing dengan AADK di sekolah.

“Jika pelajar didapati positif, kita akan laksana program (pemulihan) selama 3 bulan bersama AADK dan kemudian kita akan buat susulan. Jika pelajar itu masih lagi positif, kita akan kuatkuasakan permuafakatan disiplin menerusi jawatankuasa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan dalam mengatasi masalah penggunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Chong berkata, kerjasama dan sokongan semua pihak diperlukan dalam membanteras penggunaan dadah dalam kalangan pelajar.https://www.amanpalestin.net/

Menjawab soalan asal Abdul Azeez yang ingin tahu statistik pelajar yang dibuang sekolah dari tahun 2014 hingga 2016, Chong berkata hukuman buang sekolah merupakan alternatif terakhir pihak sekolah untuk pelajar yang terlibat dalam salah laku disiplin.

“Berdasarkan rekod Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), daripada keseluruhan jumlah pelajar, sebanyak 0.04% pelajar dibuang sekolah pada 2014, 0.03% pada 2015 dan 0.01% pada 2016.

“Kebanyakan pelajar dibuang sekolah terlibat dalam kes ponteng sekolah. Di bawah pekeliling, seseorang pelajar didapati ponteng secara berterusan melebihi 30 hari atau pelajar yang ponteng secara berkala selama 60 hari akan dibuang sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh memohon semula untuk mempertimbangkan kemasukan anak mereka ke sekolah dalam tempoh sebulan.

“Saya tegaskan, setelah ibu bapa memohon untuk anak masuk semula ke sekolah, mesti diluluskan sebab buang sekolah ini hanya untuk pengajaran,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close