KolumnisMohd Firdaus bin Salleh Hudin

Kita semua Ahed Tamimi!

Baru berumur 17 tahun, tapi wajahnya terpampang di seluruh dunia

GADIS itu baru berumur 17 tahun. Wajahnya kini terpampang di seluruh dunia.

Pada 19 Disember 2017, gadis Palestin, Ahed Tamimi ditangkap atas tuduhan menyerang dua askar Israel di perkampungan Nabi Saleh, terletak kira-kira 10 kilometer dari Ramallah di Tebing Barat.

Dalam video tular yang dirakam sendiri oleh ibunya, Ahed Tamimi bersama sepupunya, marah apabila melihat dua askar regim Israel berkawal di kawasan rumahnya.

Mereka kemudian meminta askar itu beredar namun tidak diendahkan. Natijahnya, Ahed bertambah berang lalu menampar muka salah seorang askar, menendang dan menghalau mereka. Akhirnya askar pengecut itu terpaksa beralah.

Pada 21 Mac lepas, mahkamah tentera Israel telah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda 5,000 shekels ke atas Ahed Tamimi setelah didapati bersalah atas empat pertuduhan menyerang askar Israel.

Ahed telah menghabiskan masanya selama empat bulan dalam tahanan sejak ditangkap akhir Disember lepas, dan hukuman hanya berbaki empat bulan lagi.

Ini sebenarnya bukan pengakhiran bagi kisah pejuang muda Palestin.

Jika kita berada di tempat Ahed Tamimi, apakah yang akan kita lakukan?

Sampai bila kita perlu mengalah kepada regim Israel? Sampai bila kita perlu tunduk dan akur dengan kekuatan musuh Allah ini?

Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah perjuangan Ahed Tamimi.

Pertama, usia muda bukan penghalang untuk berjuang. Ahed tidak perlu tunggu umurnya 20 tahun untuk bertindak menghalau askar Israel yang menceroboh kawasan rumahnya.

Kedua, faham realiti perjuangan, siapa pemilik asal tanah dan siapakah penceroboh. Ahed tahu tanah Palestin adalah milik umat Islam dan Israel adalah penceroboh. Mengapa perlu takut jika kita berada di pihak yang benar?

Ketiga, jiwa anak muda perlu ditanam dengan ruh perjuangan. Bukan dengan hiburan yang melalaikan. Hidup ini adalah perjuangan antara hak dan batil. Ahed telah memberikan contoh hidup di depan mata kita. Adakah kita akan terus leka daripada perjuangan?

Keempat, penyelesaian dalam isu ini ialah pengiktirafan sepenuhnya kepada negara Palestin. Terimalah hakikat sejarah bahawa Israel adalah negara haram yang ditubuhkan hasil campur tangan penjajah Britain.

Saya kesal dengan pendirian Malaysia menyatakan penyelesaian konflik Palestin-Israel adalah penyelesaian dua negara (two state solution). Saya tidak setuju.

Biarlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan keputusannya. Malaysia selaku negara Islam berdaulat, yang dipimpin oleh orang Islam, sepatutnya berani berpendirian hanya Palestin yang boleh berdaulat di bumi Syam itu, tanpa terikat dengan pendirian PBB. Israel adalah negara haram, negara penceroboh!

Ahed Tamimi adalah salah seorang daripada ribuan lagi ikon perjuangan bumi Palestin yang wajib kita ambil pengajaran.

Inilah perjuangan kita sebagai orang Islam dan Melayu di negara bertuah ini.

Mohd Firdaus bin Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close