Pendapat

Pusat Mediasi COVID-19 bantu rakyat, permudah proses pertikaian

Kerajaan akan tanggung yuran khidmat mediasi bagi mereka yang layak

AKTA Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 antara lain menzahirkan inisiatif Kerajaan membantu golongan sasaran yang menghadapi masalah akibat pandemik COVID-19 ini. Melalui Akta tersebut ditubuhkan Pusat Mediasi COVID-19 di mana untuk pertikaian tertentu ia boleh dikendalikan oleh Pusat Mediasi Covid19 tersebut tanpa perlu ke mahkamah.

Pertikaian yang dimaksudkan adalah pertikaian yang melibatkan jumlah tidak melebihi RM500,000 yang berkaitan dengan sembilan kategori iaitu:_

1. Kontrak pembinaan dan apa-apa kontrak lain berhubung dengan pembekal bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan
2. Bon pelaksanaan atau seumpamanya yang diberikan merujuk suatu kontrak pembinaan atau perbekalan
3. Kontrak acara bagi penyediaan mana-mana tempat, penginapan, kemudahan, pengangkutan, hiburab, catering atau batang atau perkhidmatan lain
4. Kontrak oleh pengusaha pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan kontrak bagi penggalakan pelancongan di Malaysia
5. Kontrak perkhidmatan professional
6. Pajakan atau sewaan harta tak alih bukan kediaman
7. Kontrak yang berhubung ziarah keagamaan
8. Perjanjian sewa beli
9. Kontak jualan kredit

Dalam pengumuman penubuhan Pusat Mediasi COVID-19 ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Sri Takiyuddin Hassan menyatakan pemohon dibawah kategori B40, M40 serta PKS Mikro dan Kecil layak menerima subsidi kos menampung khidmat pengantaraan ini.

Langkah kerajaan ini sangat-sangat dialukan kerana pihak yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini khususnya bagi golongan B40 dan M40 tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi menuntut hak mereka. Selain dari penyelesaian yang cepat, proses mediasi atau pengantaraan ini boleh mencapai keputusan yang menang-menang bagi kedua belah pihak, tidak formal dan lebih mudah. Hal ini adalah disebabkan kesemua pihak terkesan daripada pandemik COVID-19 ini sama ada pengusaha ataupun orang perseorangan.

Ia juga sejajar dengan adab kita di Nusantara yang mementingkan perbincangan dan persetujuan dicapai. Perkara yang sama tidak akan dapat direalisasikan jika suatu tuntutan itu dibawa ke mahkamah kerana pasti keputusan di mahkamah kelak ada yang menang dan ada yang kalah.

Mediasi ataupun pengantaraan ialah suatu kaedah penyelesaian pertikaian yang semakin popular di negara-negara maju. Dalam Islam juga mediasi  merupakan alternatif yang telah dianjurkan oleh syariat bagi menyelesaikan perselisihan sesama insan, perbezaan ketara antara proses penghakiman di mahkamah dan juga mediasi ini adalah daripada segi kerelaan orang yang bertelingkah.

Jika diteliti proses di mahkamah, pertelingkahan akan diputus oleh hakim yang mana kebiasaannya akan ada sebelah pihak yang tidak berpuas hati andai penghukuman itu tidak menyebelahinya, manakala dalam proses mediasi kedua-dua pihak yang bertelagah akan bersama-sama mencari jalan penyelesaian atas kerelaan dan persetujuan bersama.

Ia adalah suatu proses perundingan terpimpin, tertutup serta terjaga, informal dan sukarela untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan dibantu oleh satu pihak ketiga yang neutral. Mediator tersebut bekerjasama dengan pihak bertelingkah bagi mencari jalan penyelesaian secara damai dan dipersetujui oleh kedua pihak tersebut.

Prosedur Mediasi boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutamanya hubungan dan masalah komersil ataupun kekeluargaan. Mediasi bertujuan antara lainnya untuk memberi sokongan terhadap sistem kehakiman yang tersedia ada serta alternatif kepada pihak-pihak yang ingin menyelesaikan pertelingkahan mereka. Mediasi membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti kes berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga tiga kes tersebut. Malah kos yang rendah dalam melaksanakan mediasi menjadi tarikan untuk penyelesaian pertikaian melalui cara ini.

Berbalik kepada penubuhan Pusat Mediasi COVID-19 ini saya selaku Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan atas inisiatif ini khususnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Takiyuddin Hassan serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang merealisasikan inisiatif ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapat khidmat di Pusat Mediasi COVID-19 dalam sembilan kategori pertikaian yang dinyatakan di atas bolehlah menghubungi Pusat Mediasi COVID-19 tersebut. Pautan sesawang Pusat tersebut adalah di www.pmc19.gov.my dimana semua maklumat mengenai Pusat ini serta perkhimatan yang diberikan dipaparkan di sana. Pusat ini telah menyenaraikan mediator bertauliah yang terlatih bagi mengendalikan proses mediasi ini. Bagi mereka yang layak pihak kerajaan akan menanggung yuran khidmat mediasi yang perlu dibayar kepada mediator tersebut.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button