DuniaUtama

14 maut bom kereta diletup ketika pertandingan gusti

40 anggota keselamatan, penonton cedera di Afghanistan

KABUL, 6 Rejab 1439H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 14 terbunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam satu letupan bom kereta berhampiran pusat kemudahan sukan di selatan Afghanistan, hari ini.

Jurucakap Gabenor Wilayah Helmand, Omar Zwak berkata, letupan di bandar Lashkar Gah berlaku berhampiran Stadium Ghazi Muhammad Ayoub Khan, ketika pertandingan gusti diadakan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Awam wilayah itu, Aminullah Abed pula berkata, kira-kira 40 orang cedera dan menerima rawatan di hospital tempatan.

Jumlah mereka yang dikhuatiri maut dijangka meningkat berikutan keadaan sesetengah mangsa yang cedera parah.

Anggota sukarelawan dari Itali yang membuka pusat pembedahan di bandar itu memaklumkan mereka mendengar bunyi letupan kuat.

“Lebih 35 mangsa yang cedera dirawat di pusat perubatan kami. Empat meninggal dunia sebaik tiba,” kata jurucakap sukarelawan itu.

Laporan menyebut, penyerang bunuh diri meletupkan bom kereta di luar pintu masuk stadium berkenaan. Sejumlah anggota pasukan keselamatan yang menyaksikan pertandingan itu adalah antara mangsa yang terbunuh.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dalam satu kenyataan, mengutuk serangan itu sambil menegaskan bahawa musuh Afghanistan tidak boleh menghalang sambutan tradisional, keagamaan atau budaya di negara itu.

Kejadian ini berlaku selang dua hari selepas seorang pengebom meletupkan dirinya berdekatan Universiti Kabul, membunuh 29 orang dan mencederakan 52 yang lain.

Militan IS mengaku melakukan serangan itu, tetapi dalam letupan kereta hari ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close