Berita Utama

Anwar mesti kotakan janji singkir individu terbabit rasuah

PM perlu buktikan kata-katanya bukan retorik perjuangan politik

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar merehatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sekiranya terbukti timbalannya bersalah dalam kes salah laku kuasa dan rasuah.

Tindakan itu penting bagi membuktikan ketelusan kerajaan pimpinannya selain mengelak dianggap retorik dalam perjuangan menentang rasuah.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, buat masa ini kes membabitkan Zahid masih berjalan dan belum dijatuh hukum.

“Sekiranya terbukti bersalah, Anwar perlu bertindak tegas dan mengotakan janjinya untuk menyingkir individu yang terlibat dengan salah laku.

“Ini penting kerana janjinya untuk buat perubahan dalam negara yang sudah lama berdepan kes ketirisan dan rasuah melibatkan ahli politik.

“Langkah berkenaan juga bagi memastikan sokongan rakyat kepada Perdana Menteri itu terus kukuh dan bukan sekadar retorik dalam perjuangan politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Azizuddin berkata, dalam perutusan tahun baharu, Anwar sekali menegaskan tidak bertolak ansur sekiranya mendapati ada pihak mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, jika Anwar tidak mengotakan janji, sokongan rakyat terhadapnya akan pudar selain bakal berdepan masalah pada masa hadapan.

Terdahulu, Anwar menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur dengan tindakan segelintir penjawat awam yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada perubahan, masih ada sekelompok kecil kakitangan kerajaan masih mencuba untuk mengutip habuan dan ‘hadiah’ besar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button