Berita UtamaIstimewa

Debat Najib-Anwar mengecewakan, tiada idea segar pacu negara

Tak berani sentuh isu jurang kekayaan, pendapatan yang begitu ketara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sebagai mengecewakan.

Ini kerana, tiada idea serta wawasan yang betul-betul segar untuk memacu ekonomi negara pasca pandemik serta ketidakstabilan politik dunia dan negara daripada kedua-dua tokoh.

Mengulas perkara itu, pemerhati politik, Ir Ts Lukman Al Hakim berkata, Najib asyik bernostalgia mengenai pelbagai projek mega ekonomi di bawah kepimpinan beliau dan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Padahal semua mengetahui banyak projek mega yang disebut masih belum siap, dan beberapa projek yang telah siap pun masih belum memberikan pulangan ekonomi seperti yang telah disasarkan.

“Manakala Anwar pula berkali-kali (over-do) menekankan isu forensik kewangan, integriti, rasuah dan urus tadbir yang berkesan (good governance) yang pada pandangan saya merupakan prinsip asas yang dipersetujui semua (given point).

“… termasuk Najib walaupun beliau sendiri sedang bergelut dengan pelbagai kes salah laku di mahkamah yang masih belum selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Kecewa dengan hujah yang hanya beredar dalam ruangan ‘selamat’, Lukman berkata, solusi ekonomi yang beliau mengharapkan untuk didengari adalah seperti mengurangkan kebergantungan terhadap ‘financial economy’- punca krisis ekonomi di Amerika Syarikat.

Selain itu, penstrukturan semula sistem perbankan negara, langkah praktikal bagi membasmi kemiskinan dan pengangguran serta metodologi pembahagian kek ekonomi yang lebih telus dan efektif.

Ini semua tidak langsung dibincangkan, tegasnya.

“Paling jelas, kedua-dua pendebat tidak berani sedikit pun menyentuh isu jurang kekayaan (wealth gap) dan jurang pendapatan (salary gap) yang begitu ketara antara bangsa Cina dan bangsa Melayu, apatah lagi mencadangkan rekonsiliasi nasional yang menyeluruh dalam konteks ini.

“Ini semua masih dalam konteks membangunkan negara dalam kerangka sistem ekonomi kapitalis ciptaan Barat,” katanya.

Lukman berkata, seperti sudah dijangka, wawasan serta agenda yang berada dalam kepala kedua-dua pendebat belum lagi mampu menjangkau keluar dari kepompong tersebut bagi melakukan transformasi ke arah sistem ekonomi Islam yang terbukti lebih adil dan berdaya saing.

“Secara kesimpulan, prestasi dan reputasi pendebat sebelum masuk ke gelanggang debat banyak memainkan peranan dalam membentuk pemikiran dan kecenderungan sokongan para pendengar termasuk saya. Secara keseluruhan, jika perlu memilih pemenang saya akan memilih Anwar. 

“Acara debat mungkin didominasi oleh individu yang pandai main emosi, tapi untuk memilih pemimpin negara kita perlu melihat wawasan, kerja keras dan hasil di medan realiti.

“Kedua-dua pendebat bagi saya sudah tamat tempoh dan bukan pilihan bagi memimpin Malaysia untuk masa depan!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button