Berita UtamaUtama

Cuepacs nafi tempoh persaraan penjawat awam dilanjutkan

Dakwaan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab 

KUALA TERENGGANU,  2 Rejab 1439H, Selasa – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menegaskan  bahawa isu melanjutkan persaraan  penjawat awam kepada 62 tahun adalah isu lama yang sengaja ditularkan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, dakwaan itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sedangkan tiada kenyataan terbaru dibuat dan ia telah dimanipulasi bagi menimbulkan kemarahan terutama golongan muda.

“Propaganda ini digunakan untuk menjadikan orang muda marah dan benci pada kerajaan serta Cuepacs malah ahli kami sendiri marah…ini seolah-olah adu domba dan perbuatan  yang sangat tidak bertanggungjawab.” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wacana Khas Transformasi Nasional 2050 (TN 50) di Wisma Darul Iman di sini.

Menurut Azih, kenyataan sedemikian dikeluarkan pada 2015 dan telah diselesaikan  pada tahun 2016, melibatkan persaraan  pada umur 62 tahun bagi jabatan tertentu seperti Jabatan Kehakiman dan profesional seperti pengarah dan tenaga pakar.

Mengenai kenyataan Naib Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk memecat penjawat  awam yang tidak sehaluan dengan pembangkang sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan, Azih  menyifatkan langkah itu sebagai  tidak adil.

“Penjawat  awam tidak sepatutnya diheret ke kancah politik kerana tidak adil kepada mereka dan sebagai penjawat awam mereka perlu memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata beliau yakin penjawat awam mampu membuat keputusan bijak dalam memilih pemimpin pada pilihan raya umum  ke-14 (PRU14).

Katanya, penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan tentunya lebih maklum tentang hala tuju negara dan menghargai apa yang telah dilalui selama ini.

“Sebagai penjawat awam biasanya kita berada di satu pihak yang mana satunya sebagai penjawat awam dan di satu pihak lagi sebagai orang awam dan sebagai pengundi. Tunaikanlah tanggungjawab itu dengan kebijaksanaan masing-masing untuk mengundi,” katanya kepada pemberita. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close