Berita UtamaDunia

Israel rancang bina dua penempatan haram di Bukit Golan

Lipat ganda populasi peneroka konon atas nama kepentingan nasional

TEL AVIV, 5 Rabiulawal 1443H, Selasa – Atas nama ‘kepentingan nasional’, negara pengganas Israel merancang untuk membina dua penempatan haram di Bukit Golan yang diduduki Syria dan menggandakan penduduknya.

Ketika berucap pada persidangan mengenai masa depan Golan, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet di wilayah yang diduduki bulan depan.

“Bukit Golan milik rakyat Israel, titik,” katanya.

Katanya lagi, Israel akan membentangkan rancangan untuk melipatgandakan populasi peneroka Israel di Bukit Golan, daripada hampir 27,000 hingga 50,000 dan kemudian meningkatkannya menjadi 100,000 peneroka.

“Pembangunan Golan adalah demi kepentingan nasional (Israel).

“Tidak cukup untuk mengatakan, ‘Rakyat bersama Golan,’ kerajaan juga harus menyokong Golan,” katanya.

Perdana Menteri Israel itu memberitahu beliau akan membina dua penempatan di Bukit Golan, mewujudkan peluang pekerjaan dan melabur dalam infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Sementara itu, sumber Kementerian Luar Negeri Syria menyifatkan kenyataan Bennett semalam agresif dan tidak akan mengubah kebenaran abadi bahawa Golan adalah dan masih menjadi milik rakyat Syria dan akan kembali ke tanah air, cepat atau lambat, lapor agensi rasmi SANA.

Bukit Golan ditawan Israel dalam perang Timur Tengah 1967, serta menyebabkan pengusiran 131,00 rakyat Syria dari bandar Quneitra dan Fiq, serta sekitar 137 kampung dan 112 ladang, menurut angka rasmi Syria.

Ketika ini hanya empat kampung Syria yang masih dikuasai, hampir 20,000 warga Syria dari komuniti Druze berdepan banyak projek penempatan Israel, termasuk pembinaan kincir angin di tanah pertanian mereka.

Beberapa negara Arab, termasuk Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Algeria telah mengambil langkah-langkah halus baru-baru ini untuk meredakan pengasingan diplomatik kerajaan Syria selepas perang saudara selama sedekad, yang mana ratusan ribu orang terbunuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button