Berita UtamaDunia

Sri Lanka tarik balik larangan Facebook, Whatsapp minggu ini

Kerajaan, pihak berkuasa akan terus pantau kandungan media sosial

COLOMBO, 26 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Sri Lanka akan membuka semula akses internet dan rangkaian media sosial di negara itu minggu ini, sejak kerajaan memutuskan menyekatnya bagi mengekang penyebaran sentimen keganasan.

Perkara itu dimaklumkan dan disahkan Menteri Telekomunikasi Sri Lanka, Harin Fernando kepada pemberita semalam.

Menurut Fernando, pegawai daripada syarikat gergasi, Facebook dijangka mengadakan lawatan ke Sri Lanka esok, dan kerajaan berkemungkinan menarik balik larangan ke atas akses Facebook dan Whatsapp di negara itu.

“Sebaik sahaja kita berbincang dengan pegawai dari Facebook pada Khamis, larangan itu mungkin akan ditarik balik pada Jumaat,” katanya.

Sementara itu, kerajaan dalam satu kenyataan berasingan turut mengesahkan telah menarik balik larangan ke atas aplikasi Viber, lewat malam tadi.

Fernando berkata, kerajaan dan pihak berkuasa akan sentiasa memantau rangkaian media sosial negara itu daripada sebarang pengaruh dan sentimen kebencian serta keganasan yang boleh merosakkan keharmonian etnik.

Minggu lalu, kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan darurat selama 10 hari di seluruh negara itu dan perintah berkurung di bandar Kandy, ekoran ketegangan yang semakin memuncak antara ekstremis Buddha dan minoriti Islam.

Pergaduhan agama itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan puluhan rumah serta masjid di sekitar bandar berkenaan, rosak.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close