Berita Utama

Tiada manipulasi sistem pilihan raya, persempadanan semula

SPR nafi dakwaan akhbar, sifatkan tohmahan tak berasas, mengelirukan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula untuk memastikan kemenangan parti tertentu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, suruhanjaya itu menegaskan bahawa semua sistem yang dijalankan, termasuk pendaftaran pemilih, sistem penjalanan pilihan raya dan persempadanan semula bahagian adalah telus serta adil.

Penafian itu susulan dakwaan menerusi artikel yang disiarkan dalam akhbar The Economist bertajuk ‘How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged’ pada 8 Mac lalu, mendakwa sistem pilihan raya dan persempadanan semula bertujuan membantu kemenangan parti pemerintah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan akhbar berkenaan adalah tohmahan yang tidak berasas serta berniat mengelirukan.

“Dalam hal ini pihak berkenaan hanya melihat kesan persempadanan semula yang dijalankan itu dalam konteks kepentingan politik kepartian mereka semata-mata.


“Namun bagi SPR pula, dalam menjalankan urusan ini, SPR tidak pernah mengambil kira kepentingan politik mana-mana parti kerana kami melihat tujuan dan kesan persempadanan semula itu dalam perspektif yang lebih utama iaitu untuk kepentingan keseluruhan pengundi dan wakil rakyat di setiap bahagian pilihan raya yang terlibat,” katanya.

Beliau menjelaskan, penentuan kalah atau menang mana-mana parti mahupun calon bergantung kepada usaha mereka dalam memenangi hati rakyat serta sokongan pengundi yang mempunyai kuasa mutlak.

Serentak itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula dalam PRU14.

Malah, suruhanjaya itu juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya negara yang akan berlangsung nanti.


“Dalam situasi politik terkini, adalah tidak wajar SPR dan sistem yang dilaksanakannya dijadikan bahan propaganda atau dijadikan modal politik oleh pihak-pihak berkenaan.

“SPR turut menasihati semua pihak agar tidak mudah mempercayai dakwaan liar yang dibuat oleh pihak tertentu yang bertujuan menimbulkan kecurigaan terhadap kredibiliti sistem dan badan yang menjalankannya.

“SPR akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sekiranya didapati mana-mana pihak yang cuba menyebarkan berita palsu dan menimbulkan kegemparan serta menjejaskan proses PRU14 nanti,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close