Berita UtamaDuniaUtama

Konvoi Perdana Menteri Palestin diserang di Gaza

Fatah tuduh Hamas dalang disebalik serangan di Semenanjung Gaza

SEMENANJUNG GAZA, 25 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Satu letupan berlaku dipercayai menyasarkan konvoi Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah di laluan masuk Semenanjung Gaza, hari ini.

Menurut Al Jazeera, bahan letupan yang belum dikenalpasti itu diletupkan sebaik konvoi Hamdallah melalui pusat pemeriksaan Israel di Beit Hanoun di utara Gaza.

Bagaimanapun, Hamdallah disahkan terselamat, manakala lima orang dilaporkan cedera ringan.


Difahamkan, Ketua Perisikan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Majed Faraj adalah sebahagian daripada konvoi berkenaan.

Al Jazeera dilapor berkata, parti politik, Fatah – yang dipimpin Presiden Palestin, Mahmoud Abbas – menyalahkan insiden itu ke atas Hamas – parti pemerintah Gaza.

Ahli Jawatankuasa Pusat Fatah, Hussein al-Sheikh berkata, Hamas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Gaza, Iyad al-Buzom berkata, tindakan dan kenyataan menuduh dan meletakkan kesalahan ke atas Hamas dianggap bersifat politik semata-mata.

“Di Gaza, kita mengambil semua langkah keselamatan untuk menyambut semua konvoi dan delegasi, terutama Perdana Menteri untuk masuk ke sini.

“Beberapa suspek telah ditahan, dan siasatan bagi mengetahui dalang disebalik serangan tersebut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamas dalam kenyataan mengutuk jenayah menyasarkan konvoi Hamdallah itu, dan menganggap ia sebahagian daripada cubaan menjejaskan keamanan di Gaza serta menggagalkan usaha mencapai perpaduan negara.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close