Berita UtamaDunia

Isu Rohingya: PBB salahkan Facebook

Bimbang Facebook jadi medium tidak berperikemanusiaan

GENEVA, 25 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan syarikat gergasi, Facebook sebagai platform yang berperanan penting menyebarkan sentimen kebencian di Myanmar sehingga mencetuskan konflik kemanusiaan ke atas etnik minoriti Islam Rohingya.

Pengerusi Misi Bebas PBB di Myanmar, Marzuki Darusman berkata, media sosial seperti Facebook adalah platform yang berperanan ke atas penindasan dan penganiayaan etnik Rohingya di negara itu.

“Ia sebahagian besarnya menyumbang kepada tahap pertelingkahan, perselisihan dan konflik dalam masyarakat umum. Sudah pasti sentimen kebencian adalah sebahagian daripadanya.

“Sebagaimana keadaan di Myanmar, media sosial adalah Facebook dan Facebook adalah media sosial,” katanya.


Sementara itu, penyiasat PBB di Myanmar, Yanghee Lee berkata, Facebook adalah sebahagian besar daripada kehidupan awam, sivil, swasta dan kerajaan menggunakannya untuk menyebar maklumat kepada orang ramai.

“Ia digunakan untuk menyampaikan mesej awam tetapi kita tahu bahawa penganut Buddha ultra-nasionalis di Myanmar mempunyai Facebook mereka sendiri.

“Dan kita percaya mereka menggunakan medium itu untuk menghasut kepada keganasan dan kebencian terhadap Rohingya atau etnik minoriti lain.

“Kita bimbang platform seperti Facebook ini berubah daripada objektif sepatutnya kepada tidak berperikemanusiaan dan bersifat seperti ‘binatang’,” katanya.

Facebook bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang maklum balas mengenai kritikan itu, meskipun sebelum ini pernah mendakwa telah berusaha menghapus dan mengharamkan penyebaran sentimen kebencian di Myanmar.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close