Berita UtamaDuniaEropahUtama

Dua masjid di London diisytihar bangunan warisan Britain

Masjid Shah Jahan di Surrey dapat Gred I setaraf Istana Buckingham

LONDON, 25 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Dua masjid di kota London diberi status khas hari ini, sebagai mengiktiraf kepentingan seni bina dan sejarahnya, dalam satu langkah yang dikatakan kerajaan bagi menghargai kekayaan warisan komuniti Islam di England.

Masjid Pusat London yang turut menjadi Pusat Kebudayaan Islam di Regent’s Park di tengah ibu kota ini diberi Gred II*, manakala Masjid Fazl di barat daya London, diberi taraf bangunan warisan Gred II oleh kerajaan Britain.

Sementara Masjid Shah Jahan di Woking, Surrey, menjadi satu-satunya masjid di Britain yang dinaikkan kepada Gred I, berkongsi kedudukan dengan beberapa bangunan lain, seperti Istana Buckingham.

Britain menetapkan tiga gred untuk mengisytiharkan sesuatu bangunan sebagai warisan negara yang mesti dijaga dan dipulihara.

Gred I adalah bangunan yang mempunyai kepentingan dan tarikan luar biasa. Taraf Gred II* pula biasanya diberi kepada bangunan penting yang memiliki tarikah khas, manakala Gred II adalah bangunan yang mempunyai kepentingan khusus dan usaha memuliharanya dijamin.

Masjid Pusat London yang turut menjadi Pusat Kebudayaan Islam di Regent’s Park diisytihar bangunan warisan Gred II*. – Gambar Persatuan Sejarah England

Masjid Pusat London dibina pada tahun 1970-an oleh arkitek Britain, Sir Frederick Gibberd di atas sekeping tanah yang ditawarkan oleh kerajaan Perdana Menteri, Winston Churchill pada 1940-an.

Sebelum ini masjid di United Kingdom diabai dari segi pemuliharaan warisan, kata pakar sejarah England yang mengumumkan senarai baharu bangunan warisan di negara itu.

Kedua-dua masjid itu akan diletakkan dalam senarai bangunan dilindungi dan tarafnya akan dinaikkan apabila mendapat nasihat daripada pakar sejarah.

Ketua Pertubuhan Penyelidikan Sejarah England, Linda Monckton berkata, naratif utama sumbangan seni bina dan sejarah masjid tidak pernah diketahui sebelum ini, kerana tiada siapa yang tahu apa yang ada dan di mana.

“Saya percaya ada bangunan yang tertinggal kerana kita tidak tahu di mana ia berada atau apakah bangunan itu. Ini kerana tidak kajian, analisis atau bukti,” katanya.

Pertubuhan itu, katanya, membuat perubahan besar apabila tidak hanya menumpukan kepada gereja, sebaliknya mengkaji juga kepentingan bangunan lain.

Penyenaraian dua masjid itu dibuat selepas kajian dan penyelidikan selama sembilan tahun berkaitan bangunan berharga bagi agama Islam. Terdapat kira-kira 1,500 masjid di seluruh United Kingdom sekarang ini. – Agensi

Masjid Fazl di barat daya London, diberi taraf bangunan warisan Gred II. – Gambar Muzium London
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close