DuniaPalestinUtama

‘No Man’s Land’ hak Palestin: PLO

AS dakwa kawasan tanah di antara Baitulmaqdis Timur dan Baitulmaqdis Barat tidak dimiliki mana-mana negara, tetapi rakyat Palestin kata tanah itu adalah wilayah yang diduduki dan dirampas rejim pengganas Israel

BAITULMAQDIS, 22 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – ‘No Man’s Land’ adalah tanah yang diduduki dan diceroboh oleh rejim pengganas Israel, kata Pegawai Jabatan Hal Ehwal Perundingan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ashraf Khatib.

Beliau mengulas rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mendirikan bangunan kedutaannya di atas sebidang tanah yang didakwa sebagai tidak dimiliki oleh mana-mana pihak atau negara.

Washington Post sebelum ini, melaporkan AS akan mewujudkan kedutaannya di satu kawasan tanah di antara Baitulmaqdis Timur dan Baitulmaqdis Barat, yang kononnya tidak dimiliki mana-mana pihak atau negara.

Bagaimanapun, undang-undang antarabangsa mengatakan kawasan itu adalah wilayah yang diceroboh dan diduduki secara haram.

Rejim pengganas Israel menduduki kawasan itu setelah Perang 1967 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih menganggap ianya adalah wilayah yang ditakluki dan diduduki secara haram.

Jabatan Negara AS minggu lalu mendakwa kawasan kedutaan sementara di Arnona digunakan Israel sejak 1949, tetapi PLO menafikannya dengan mengatakan bahawa ia bukannya kes yang dibincangkan.

“Tanah yang didakwa tidak dimiliki mana-mana pihak atau negara itu sebenarnya adalah wilayah Palestin yang diceroboh dan diduduki secara haram oleh rejim pengganas Israel,” kata Ashraf.

AS menempatkan pejabat konsulnya di Baitulmaqdis di kawasan itu sejak tujuh tahun lalu.

Pengarah Undang-Undang Antarabangsa Kohelet Policy Forum yang berpangkalan di Baitulmaqdis, Eugene Kontorovich pula berkata, pemindahan kedutaan dari Tel Aviv ke Arnona secara tidak langsung menunjukkan pentadbiran Presiden Donald Trump mengiktiraf kedaulatan rejim Zionis ke atas tanah yang diduduki secara haram sejak 1967.

“Amerika tidak boleh membina kedutaan di wilayah yang bukan hak Israel,” katanya.

Pengiktirafan Trump yang menjadikan Baitulmaqdis – yang menempatkan masjid suci ketiga umat Islam, Masjidil Aqsa – sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember tahun lalu dan akan memindahkan kedutaannya Mei ini, mencetuskan ketegangan di Palestin dan bantahan di seluruh dunia, terutama di negara Islam.

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebelum ini, memberi amaran pemindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, akan menjadi pencetus kepada penentangan besar-besaran terhadap kependudukan rejim pengganas Israel di Palestin.

Jurucakap Hamas, Abdul-Latif al-Qanou berkata, rakyat Palestin akan terus bangkit tanpa rasa takut untuk menentang rancangan pemindahan kedutaan AS itu.

Katanya, pemindahan kedutaan itu melanggar dan bertentangan dengan undang-undang serta konvensyen antarabangsa.

“Seluruh dunia tidak menghalalkan kependudukan rejim Zonis di bumi Palestin atau mengubah identiti Baitulmaqdis,” katanya.

Palestin ‘meletup’ jika AS buka kedutaan ke Baitulmaqdis

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close