Berita UtamaUtama

Gabungan NGO desak kerajaan lupakan hasrat runding TPP11

Perjanjian beri ruang syarikat asing saman kerajaan berbilion dollar

Oleh Siti Fatimah Ishak dan Norazlinda Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bantah TPPA mendesak kerajaan untuk tidak meneruskan hasrat memeterai rundingan dengan 10 negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP11) atau Perjanjian Komprehensif dan Progresif (CPTPP).

Timbalan pengerusi Bantah TPPA, Azlan Awang berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan kepentingan rakyat yang sejak dahulu lagi berterusan membantah rundingan TPPA.

“Isu TPP11 ini sangat berat dan sukar untuk difahami. Kerajaan sepatutnya faham keperluan menandatangani perjanjian ini. Apa untungnya kepada rakyat? Sebagai pemerintah, kerajaan perlu cari apa kepentingan untuk rakyat.

“Fikir apa cara nak bangunkan rakyat, bukan melakukan sesuatu yang hanya kayakan syarikat-syarikat besar. Itu semua adalah satu kesilapan yang besar,” katanya pada sidang media di pejabat Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), hari ini.

Malaysia dijadualkan menandatangani perjanjian perdagangan bebas, TPP 11 tanpa Amerika Syarikat (AS) esok, di ibu kota Chile, Santiago.

Sebelum ini, TPP dianggotai 12 negara, bagaimanapun AS menarik diri selepas Donald Trump dilantik menjadi Presiden, awal tahun lalu.


Melahirkan kebimbangannya Azlan berkata, sekiranya TPP11 ini ditandatangani, Malaysia seolah dengan sengaja memberi ruang dan hak kepada syarikat luar untuk menyaman kerajaan di tribunal asing.

Bayangkan, katanya, syarikat asing boleh menyaman kerajaan Malaysia dengan jumlah berbilion-bilion dollar.

“Misalnya dalam kes-kes terdahulu, ada negara kena saman kemudian mahkamah memutuskan supaya membayar kepada syarikat terbabit berbilion-bilion dolar, 2.5 juta dolar termasuk daripada mula-mula kena saman.

“Di Colombia juga ada satu kes yang dimilik oleh syarikat Amerika, syarikat itu menyaman kerajaan Colombia apabila syarikat itu mengotorkan sungai. Kemudian kerajaan meminta syarikat itu berhenti dan menamatkan perkhidmatan.

“Sebaliknya berlaku apabila syarikat berkenaan menghantar surat saman 2.4 juta. Itu yang bahayanya peraturan TPP11 ini. Kita bimbang situasi seperti itu boleh berlaku kepada Malaysia,” katanya.

Azlan berkata, pemimpin mahupun masyarakat perlu sedar bahawa TPP11 bukan perjanjian yang adil, namun ia ibarat alat untuk memastikan perlindungan dan keutamaan diberikan kepada kepentingan korporat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close