Berita Utama

Mahkamah putuskan 16 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan batal, tak sah

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1

PUTRAJAYA, 28 Rejab 1445H, Jumaat – Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Bagaimanapun panel hakim memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan diputuskan panel lapan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Tengku Maimun dalam penghakiman berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

“Kami membenarkan permohonan petisyen untuk suatu deklarasi bahawa Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b) , 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah.

“Ia ditetapkan atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan atau responden membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya,” kata Tengku Maimun.

Turut bersidang dalam kes ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Dalam prosiding kes Nik Elin ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakilinya berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

SENARAI ENAKMEN YANG BATAL DAN TIDAK SAH

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

SENARAI ENAKMEN YANG SAH

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button