DuniaTimur Tengah

Bantuan kemanusiaan mula masuki Ghouta Timur

Rejim Syria rampas 70 peratus bekalan dan peralatan perubatan

GHOUTA, 18 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Konvoi bantuan kemanusiaan dihantar menggunakan kenderaan berat mula memasuki Ghouta buat kali pertama, tetapi tentera rejim Bashar Al-Assad merampas sebahagian besar bekalan ubat-ubatan, sambil mengenakan tekanan menerusi serangan udara dan darat.

Empat puluh enam trak membawa bekalan makanan dan keperluan perubatan memasuki Ghouta Timur menerusi pusat pemeriksaan yang dikawal kerajaan, semalam.

Bantuan kemanusiaan itu membawa 5,500 bekalan makanan dan tepung cukup untuk 27,500 penduduk, selain peralatan pembedahan dan ubat, kata Pengerusi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa bagi Timur Tengah, Robert Mardini.

Pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberitahu kerajaan rejim Syria mengarahkan 70 peratus bekalan perubatan dirampas, termasuk kit trauma, peralatan pembedahan, insulin dan peralatan lain.

Lebih 700 orang awam terbunuh sejak 18 Februari hingga semalam apabila rejim Assad dengan sokongan Russia terus mengebom Ghouta Timur, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi gencatan senjata di seluruh Syria.

Ghouta Timur dihuni kira-kira 400,000 penduduk diletakkan dalam kepungan kerajaan rejim Syria sejak kumpulan penentang mengambil alih kawasan itu pada pertengahan 2013 lalu.

Sementara itu, pemantau hak asasi manusia memberitahu, serangan udara di kawasan berkenaan semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh.

Sekurang-kurangnya 19 maut di bandar Hummuriyeh apabila pesawat rejim Syria dan Russia menggugurkan bom berangkai. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close