Asean/Asia-PasifikDunia

Enam polis terbunuh, 19 diculik dalam dua serangan Taliban

Presiden Afghanistan tawar iktiraf Taliban sebagai gerakan politik

KABUL, 14 Jamadilakhir 1439H, Jumaat – Sehari selepas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menawar untuk mengiktiraf Taliban sebagai gerakan politik yang sah bagi mengakhiri perang saudara 16 tahun, kumpulan militan itu membunuh sekurang-kurangnya enam anggota polis dan menculik 19 yang lain dalam dua serangan di selatan Afghanistan, semalam.

Dalam kejadian pertama militan Taliban berpakaian ala tentera menahan sebuah bas di sempadan antara wilayah Kandahar dan Uruzgan, serta menculik 30 penumpang, termasuk 19 anggota polis, malam semalam.

“Terdapat orang awam di dalam bas dan kami cuba mengenal pasti mangsa yang diculik,” kata jurucakap Gabenor Kandahar, Qudratullah Khushbakht.

Dalam kejadian kedua pula, sekumpulan anggota Taliban menyerang sebuah pusat pemeriksaan polis di daerah Shah Wali Kot di wilayah Kandahar, menyebabkan enam anggota polis terbunuh, manakala lima lagi cedera, kata Ketua Polis Kandahar, Jeneral Abdul Razak.

Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan itu dan mengesahkan mereka menculik anggota polis.

Kelmarin, Ashraf menawarkan untuk mengiktiraf Taliban dan membebankan anggota militan yang ditahan, selain mengeluarkan mereka daripada senarai pengganas antarabangsa, sebagai sebahagian usaha bagi melaksanakan proses damai dan menamatkan konflik bertahun-tahun di negara itu.

Beliau turut mencadangkan gencatan senjata dan pembebasan tawanan sebagai sebahagian daripada tawaran itu, termasuk mengadakan pilihan raya baharu yang turut membabitkan kumpulan bersenjata Taliban, serta semakan Perlembagaan.

“Kami membuat tawaran ini tanpa prasyarat dalam usaha mencapai perjanjian damai. Kumpulan Taliban dijangka memberi input kepada proses damai yang matlamatnya menjadikan mereka sebuah pertubuhan,” katanya pada pembukaan sidang ‘Proses Kabul’ yang dihadiri wakil 25 negara. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close