Berita UtamaUtama

Guru Malaysia berjaya rangkul anugerah global di Dubai

Rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Seorang guru dari Sabah, Mohd Sirhajwan Idek berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia apabila menjuarai anugerah Community Award for Citizenship di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Beliau yang merupakan guru di Kolej Vokasional Keningau itu menewaskan tujuh peserta yang tersenarai di peringkat akhir anugerah sempena Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, Sirhajwan menjadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards.

“Tahniah kepada Cikgu Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional Keningau menjadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards apabila diumumkan sebagai pemenang Community Award for Citizenship.

“Beliau yang tercalon dua anugerah bagi GESS Education Awards 2018 adalah satu-satunya tercalon untuk dua anugerah pada masa sama,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, majlis anugerah itu dijalankan secara besar-besaran dihadiri pelbagai wakil syarikat dan organisasi dari seluruh dunia yang berkaitan dengan pendidikan serta golongan pendidik untuk meraikan pencapaian dan usaha dalam bidang pendidikan.

Pada September 2017, beliau yang berbangsa Bajau itu pernah mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.

Manakala pada Mac 2017 pula, beliau turut tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global di Dubai.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close