Berita UtamaUtama

Cemar imej Islam, Neelofa boleh dikenakan tindakan undang-undang

Mohon maaf tak bererti terlepas daripada tindakan sewajarnya

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Pelakon dan pengacara terkenal Noor Neelofa Mohd Noor boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, ia berikutan tindakan menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam di ibu negara yang nyata mencemarkan imej kesucian Islam.

“Berdasarkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977, mana-mana orang dengan apa cara sekalipun yang boleh menyebabkan agama Islam itu dipandang hina, adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Neelofa juga berhadapan dengan tindakan mengikut Seksyen 35 Akta yang sama atas tuduhan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan Neelofa itu bukan sahaja boleh memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung tetapi juga secara tidak langsung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

“Selepas ini pasti ada yang beranggapan wanita Muslimah boleh pergi dan menari di kelab malam, asalkan mereka memakai tudung.

“Ini persepsi yang silap dan perlu diperbetulkan kerana Islam mensyariatkan seseorang wanita itu perlu menutup aurat untuk menjaga maruah dan melindungi mereka daripada terjebak dengan perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Neelofa dilaporkan sudah meminta maaf, tetapi tidak bererti beliau terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Sebab itu undang-undang ini perlu dikuatkuasakan demi menjaga maslahat ummah dan demi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close