Berita Utama

Terimalah hakikat, realiti tidak mewajarkan PRU15

Akibat buruk seperti selepas PRN Sabah tak mustahil berulang

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya wajar diadakan sekiranya terbukti berlaku penurunan penularan wabak COVID-19 secara drastik dan konsisten.

Namun cadangan supaya pilihan raya diteruskan juga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat dan tempoh kempen yang amat pendek masih boleh dipertimbangkan.

Walaupun begitu, Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof mengingatkan bahawa setiap pilihan raya perlu memenuhi beberapa elemen asas bagi memastikan ia benar-benar tulen, demokratik dan telus.

Katanya, pengundi berhak untuk mendapat maklumat yang jelas berkaitan parti dan calon yang bertanding, sementara parti dan calon pula mempunyai hak untuk diberi ruang yang mencukupi dan adil untuk menyampaikan mesej mereka.

“Selain itu, sebarang bentuk SOP, walaupun ketat dan tegas, ia hanya berkesan dan berjaya jika wujud penguatkuasaan yang menyeluruh, adil dan cekap.

“Ringkasnya, persoalan sama ada wajar atau tidak PRU dalam masa terdekat ini bergantung kepada situasi jangkitan wabak COVID-19.

“Keputusan yang dibuat perlu bersandarkan perkiraan dari sudut kesihatan awam, kemampuan penguatkuasaan SOP, tahap pergerakan orang ramai waktu pengundian, dan imbangan antara keperluan amalan demokrasi dan penjagaan nyawa atau kesihatan rakyat. Ia bukan keputusan untuk kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa kerajaan mewujudkan satu badan khas yang terdiri dari pihak-pihak yang mempunyai kepakaran untuk membuat keputusan termasuk dari pihak berkuasa kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesyorkan Kabinet yang kemudiannya, jika perlu mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Agong.

Dalam kenyataan sama, Dr Fathi turut bersetuju mengenai pandangan segelintir pihak bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan paling rapuh.

“Ramai yang kata begitu. Saya pun setuju juga. Dalam keadaan tanpa wabak (dan tanpa banjir seperti sekarang) memang patut Parlimen dibubar segera. Biar ada mandat baru dari rakyat.

“Walaupun mandat baru belum menjamin wujud kerajaan yang kukuh, sekurang-kurangnya ada harapan untuk tamatkan kemelut politik yang tak berkesudahan ini.

“Tapi semua kena akur kehendak Allah. Kita sedang berdepan dengan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah beberapa kali menyebut agar tidak diadakan pilihan raya dalam tempoh penularan wabak,” katanya.

Bahkan, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman mengetuai beberapa pakar kesihatan telah menyerahkan surat merayu kerajaan agar tidak mengadakan PRU dalam masa terdekat meskipun ada yang menginginkan sebaliknya.

“Beberapa tokoh politik giat mencanang idea bahawa PRU boleh dilaksanakan dengan selamat dalam tempoh COVID-19 ini. Bagi saya dalam hal ini, antara orang politik dan pakar kesihatan, tentunya yang lebih diyakini adalah pakar kesihatan.

“Pakar kesihatan bercakap berdasarkan realiti dan trend jangkitan serta risiko jika dilaksanakan PRU. Pengalaman sewaktu PRN di Sabah membuktikan akibat buruk mengadakan pilihan raya dalam situasi wabak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button