Berita UtamaDunia

Serangan rejim Assad: 190 orang awam maut dalam tempoh 3 hari

Bedilan roket, meriam tanpa henti di beberapa kawasan di Ghouta timur

DAMSYIK, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu –  Pengeboman bertalu-talu yang dilancarkan rejim Bashar al-Assad, di bahagian Ghouta Timur berhampiran Damsyik sejak Ahad lalu, membunuh 190 orang awam dan ratusan yang lain cedera.  

Reuters melaporkan, kira-kira 127 orang maut dalam serangan udara dan roket pada Isnin, manakala terbaharu semalam, sekurang-kurangnya 44 orang awam terbunuh, iaitu kematian tertinggi dalam sehari sejak tiga tahun.

Jumlah kematian orang awam dikhuatiri terus meningkat apabila pasukan tentera rejim Assad dijangka memasuki kawasan utara Afrin yang dikawal militan Kurdish selepas lebih sebulan pertempuran dengan Turki.

Dalam masa sama, serangan udara berterusan tanpa henti bersama bedilan roket dan meriam ke beberapa kawasan di Ghouta timur.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mengesahkan, serangan yang bermula sejak Ahad lalu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 39 kanak-kanak maut manakala lebih 850 lain cedera.

Ghouta Timur adalah kubu terakhir kumpulan pembangkang di Damsyik dan Presiden Syria, Bashar al-Assad telah mengerahkan tenteranya dalam usaha bersepadu untuk merampas semula kawasan berkenaan.

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa serangan menyasarkan orang awam di Syria ditamatkan segera berikutan serangan berterusan itu menyaksikan jumlah kematian tertinggi di kawasan berkenaan sejak 2015. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker