Berita Utama

Malaysia mahu isu Palestin diperhalusi, gesa tekanan sistematik pada Israel

Kutuk sahaja tidak cukup, perlu cari jalan perjuang hak rakyat, kemerdekaan Palestin

BANGI, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin pada Mesyuarat Jawatankuasa Enam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, di New York hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, tindakan mengutuk Israel sahaja tidak mencukupi, malah semua pihak perlu mencari jalan untuk memperjuangkan hak rakyat dan negara Palestin yang merdeka.

Dalam mesyuarat itu, Zambry turut menggesa keluarga besar OIC dan masyarakat antarabangsa untuk menentang penindasan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Enam OIC mengenai Palestin di UNGA ke-78 dan mengesahkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan Palestin dan komitmen negara terhadap agenda OIC, khususnya mengenai Al-Aqsa dan Palestin.

“Saya berpendirian bahawa jawatankuasa ini perlu memberi tekanan yang sistematik dan berterusan kepada Israel atas jenayahnya terhadap kemanusiaan, diskriminasi dan penindasannya yang kejam dan dasar aparteidnya,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Zambry berpandangan bahawa isu Palestin perlu diperhalusi dengan serius dan pembelaan yang adil mesti dilakukan.

“Isu Palestin sentiasa menjadi perjuangan dan dukungan Malaysia sejak dahulu hingga kini.

“Marilah kita terus sokong kerja dan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam memastikan nasib saudara kita di Palestin dijaga dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menerusi Kementerian Luar mengecam sekeras-kerasnya serbuan di Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Israel pada Ahad (17 September), yang juga menyerang umat Islam Palestin di salah satu pintu masuk ke perkarangan masjid di Baitulmaqdis Timur.

Kementerian dalam kenyataan pada Rabu berkata, serangan terhadap jemaah merupakan tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian tempat-tempat suci, yang jelas bertujuan untuk mencabar status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia oleh itu, menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan keganasan berterusan terhadap kemanusiaan dan secara terang-terangan mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa yang tidak terkira banyaknya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button