Berita Utama

Calon pilihan raya perlu henti kempen cara kotor

Jauhi sogokan berupa wang, kontrak, jawatan dan jamuan untuk pengaruhi undi

BANGI, 4 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Calon yang bertanding pada pilihan raya perlu berhenti menggunakan kempen cara kotor kerana perbuatan tersebut mencerminkan tahap integriti mereka.

Taktik kotor semasa berkempen termasuk menjanjikan sesuatu yang tidak masuk akal, menggunakan maklumat tidak tepat atau palsu, diikuti dengan perbuatan bersifat sogokan, mengadakan jamuan bermotif menarik undi, pengaruh tidak wajar dan juga rasuah.

Penasihat Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Datin Dr Faridah Abd Jalil berkata, walaupun terdapat undang-undang yang wujud bagi mengawal perkara ini, tahap kesedaran dari sudut moral para calon masih rendah.

“Oleh itu, suntikan bernilai moral perlu diberi, terutama dari sudut kebertanggungjawaban, amanah dan jujur dalam berjanji tanpa membabitkan amalan rasuah. Undang-undang mengenakan tanggungjawab kempen pilihan raya secara beretika terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5).

“Secara khusus Seksyen 4A (1) Akta 5 menjadikan sebagai kesalahan bagi sesiapa sahaja sebelum, ketika atau selepas pilihan raya membuat apa-apa perbuatan atau pernyataan dengan kecenderungan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum untuk meraih undi.

“Jelas, perbuatan atau perkataan boleh membangkitkan permusuhan dan kebencian ditegah Akta 5. Larangan sama juga terdapat antaranya dalam Akta Hasutan 1948 dan Kanun Prosedur Jenayah bersifat lebih umum,” katanya menerusi artikel tulisannya di Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap pihak termasuk calon, parti politik dan penyokong perlu menghormati undang-undang dan nilai moral dengan penuh tanggungjawab.

Tambahnya lagi, setiap calon, ejen dan parti perlu mengelak daripada menggunakan perkataan yang boleh membawa fitnah, mengancam atau mencetuskan keganasan secara emosi atau fizikal, melalui alam nyata atau dalam talian.

“Seiring dengan itu, mereka tidak mengenakan pengaruh tidak wajar, sogokan berupa wang, kontrak dan jawatan, jamuan atau pemberian boleh mempengaruhi undi.

“Bermakna, sudah sampai ketikanya parti politik menjalankan kempen pilihan raya secara beretika, supaya pengundi boleh menyertai proses demokrasi dengan tenang dan berilmu.

“Calon, pemimpin parti dan penyokong tegar tidak perlu menjual maruah kaum, agama dan negara demi memenangi pilihan raya. Integriti wakil rakyat terpilih dinilai bermula pada hari penamaan calon diikuti dengan cara pengendalian kempen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button