Berita Utama

Tiada faedah naikkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Pemimpin patut kembangkan etos Melayu, tonjol kedudukan negara di peringkat serantau

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Rejab 1445H, Khamis – Usaha mengiktiraf tujuh Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sangat tidak berfaedah.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Kampung Baru Cina bukan sesuatu yang perlu dibanggakan atau dipelihara, kerana ia adalah projek peninggalan penjajah British bermula tahun 1950-an.

“Ketika itu, British hendak selesaikan masalah penempatan, jadi mereka mengasingkan orang Cina daripada Parti Komunis. 

“Kini, konsep perbandaran kolonial ini sudah tidak diperlukan lagi. Pembangunan ini hanya untuk kepentingan kolonis semata-mata,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Terdahulu, dilaporkan bahawa terdapat tujuh daripada 613 Kampung Baru di seluruh negara terpilih dalam pencalonan untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kampung itu terdiri daripada Kampung Baru Berapit, Pulau Pinang, di sini, diikuti enam lagi Kampung Baru membabitkan Selangor, Perak, Melaka dan Johor.

Terbaharu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengesahkan rancangan untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor di UNESCO.

Dakwanya, tindakan berkenaan adalah bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarahnya.

Menyelar cadangan tidak berasas itu, Abdullah Zaik menyifatkan syor menteri DAP itu sebagai salah satu langkah pen-Chinaan Tanah Melayu, menjadikan simbol-simbol sebegini ‘lambang’ kepada identiti negara.

“Jadi dalam aspek lain, simbol Melayu diabaikan dan tidak diambil peduli, dan agenda pembudayaan Cina ini pula dikedepankan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin gerakan Islam itu turut memberi teguran kepada pemimpin Melayu supaya lebih bersungguh-sungguh dalam mempertahankan lambang serta identiti negara yang bercirikan Melayu dan Islam.

“Aspek penting yang harus difahami oleh kepimpinan Melayu, masyarakat Melayu Islam adalah elemen etos, keperibadian dalam sejarah Melayu sepatutnya menjadi identiti negara.

“Ini merupakan kepentingan nasional yang tidak sepatutnya digadai. Jadi kerana tidak wujud kesedaran yang mencukupi di kalangan pemimpin Melayu, menyebabkan etos ini tidak menjadi kekuatan kepada kenegaraan Malaysia. 

“Sepatutnya Malaysia ini dianggap negara Melayu, mewarisi kebudayaan dan keperibadian Melayu,” katanya.

Beliau juga menegaskan, Melayu adalah ciri kekayaan dan ciri kekuatan kepada Tanah Melayu, dan kini kepada Malaysia. 

“Ini kerana Melayu itu sendiri kebudayaannya sepatutnya diwarisi oleh Malaysia. Kenapa Malaysia tidak mengembangkan itu, tidak mengambil tanggungjawab mengembangkan etos?

“Malaysia hari ini seolah-olah menjadi negara yang tiada identiti. Bila tiada identiti, negara akan menjadi lemah. Kita sepatutnya mengeksploitasi kekuatan etos sebagai satu kuasa yang menaikkan kedudukan negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Pada orang Melayu ini patut diwariskan bukan diabaikan. Bukannya peninggalan budaya lain diangkat atau dikekalkan,” katanya.

Berita berkaitan:

Pen’China’an Malaysia – Adakah mitos atau satu realiti ?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button