Berita UtamaDunia

99 organisasi gesa henti penjualan senjata ke Arab Saudi, UAE

13.5 juta penduduk Yaman hadapi krisis kemanusiaan yang teruk

RIYADH, 2 Rejab 1442H, Ahad – 99 organisasi hak asasi manusia antarabangsa menuntut  pembekuan penjualan senjata ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta pemberhentian segera perang di Yaman. 

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyatakan, lanjutan pengepungan dan serangan yang dipimpin Arab Saudi selama enam tahun terakhir  telah menyebabkan Yaman mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia sejak akhir Perang Dunia kedua.

Ia menyebabkan puluhan ribu orang awam terbunuh dan cedera, dan mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan kekurangan akses kepada makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan.

Kenyataan itu menyebut, hampir 80 peratus penduduk Yaman, termasuk 12 juta kanak-kanak, sangat memerlukan bantuan kemanusiaan akibat serangan dan pengepungan yang dipimpin oleh Arab Saudi.

Ia juga menekankan perlunya pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a serta pelabuhan Hudaydah.

Empat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hampir 2.3 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun menderita kekurangan zat makanan akut tahun ini, dan 400,000 daripadanya mungkin menghadapi malnutrisi yang teruk.

Amerika Syarikat (AS) dan Itali baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan membekukan penjualan senjata ke Arab Saudi dan UAE.

Pertubuhan hak asasi meminta semua negara dunia, terutama Britain dan Perancis, untuk melakukan hal yang sama dan menangguhkan semua perjanjian senjata dengan dua negara Teluk Parsi itu.

Kenyataan itu mengatakan bahawa penangguhan penjualan senjata ke Arab Saudi dan UAE akan memberikan sumbangan positif kepada pengakhiran perang dan pertumpahan darah.

Arab Saudi dan sekutu serantau melancarkan perang ke atas Yaman pada Mac 2015, dengan tujuan untuk mengembalikan pemerintahan mantan presiden, Abd Rabbuh Mansur Hadi, dan menghancurkan gerakan Ansarullah yang popular.

Menurut PBB, 80 peratus daripada 30 juta orang Yaman memerlukan beberapa bentuk bantuan atau perlindungan.  

Kira-kira 13.5 juta orang Yaman kini menghadapi kelangsungan hidup yang teruk, data PBB. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button