Berita Utama

Iktiraf UEC ‘taktik’ senyap lenyapkan bahasa kebangsaan

Kerajaan tak wajar ikut tuntutan yang bertentangan dasar pendidikan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Jamadilawal 1444H, Selasa – Kerajaan tidak wajar mengikut tuntutan Dong Zong mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), memandangkan silibusnya bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan.

Apatah lagi, sijil berkenaan jelas ‘berkiblatkan’ sukatan pendidikan dari Taiwan dan China, yang bertentangan dengan sistem pendidikan di negara ini, kata Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin.

Atas dasar itu, beliau menyifatkan pengiktirafan kepada UEC sebagai tidak adil kepada rakyat yang memberikan kesetiaan sepenuhnya pada negara.

“Ia juga tidak adil kepada pelajar yang berhempas pulas mengikut pelajaran di sekolah aliran kebangsaan dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diwajibkan untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi kelayakan untuk memasuki institusi pengajian awam, manakala UEC pula tidak menepati syarat demikian.

“Keadaan ini bukan sahaja merosakkan sistem pendidikan negara tetapi lebih dahsyat adalah cubaan untuk mencabul Perlembagaan dengan melenyapkan penggunaan bahasa kebangsaan negara – bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa lain iaitu bahasa Cina.

“Ini adalah tindakan secara senyap untuk melenyapkan bahasa Melayu di bumi ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Dong Zong dilaporkan menggesa kerajaan baharu mengiktiraf UEC dan memberi peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan termasuk menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf UEC serta menginstitusikan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin.

Mengulas perkara itu, Abdul Raouf menegaskan, pengiktirafan UEC secara tidak langsung dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pelajar-pelajar di sekolah bawah KPM sanggup mengetepikan perkauman demi perpaduan pelbagai bangsa di negara ini.

“Sementara UEC langsung tidak mematuhi dasar pendidikan kebangsaan malah setiap peperiksaan yang dibuat dilakukan sendirian dan keadaan ini jauh berbeza dengan sistem pendidikan negara yang dikawal oleh Majlis Lembaga Peperiksaan dan dibuat secara berpusat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button