Berita Utama

Kerajaan yakin bawa pulang 45 jemaah tabligh di India

Mereka ditahan atas kesalahan salah guna visa pelawat

PUTRAJAYA, 12 Safar 1442H, Rabu – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar masih dalam proses untuk membantu baki 45 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India setelah ditahan atas kesalahan menyalahguna visa pelawat, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

“Kita telah berjaya melalui proses kehakiman di India dengan 144 jemaah tabligh dibebaskan dan berjaya dibawa pulang dan yang masih tinggal adalah seramai 45 orang di empat ke lima buah negeri di India yang kini melalui proses mahkamah yang berbeza,” katanya.

Kamarudin berkata kerajaan yakin dapat menyelesaikan masalah melibatkan rakyat Malaysia itu, cuma ia tertakluk kepada proses kehakiman dan sistem mahkamah yang sedikit berbeza di setiap negeri di India.

“Bagaimanapun dalam masa terdekat kita yakin dapat selesaikan isu ini,” katanya pada media di sini hari ini, selepas membacakan teks ucapan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pada majlis menandatangani Surat Cara Ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear, di Wisma Putra hari ini.

Mengenai status kesihatan Hishammuddin yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Sabah, Kamarudin berkata kedua-dua ujian pengesanan COVID-19 yang dijalani adalah negatif.

“Beliau telah menjalani dua kali ujian pengesanan COVID-19 dan kedua-duanya negatif namun

perlu mematuhi kuarantin 14 hari, ” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button