Berita UtamaUtama

Kerajaan keluar visa benar diplomat rejim Zionis masuk bercanggah pendirian pro Palestin

Perhimpunan solidariti bersama Palestin di Putrajaya dihadiri Perdana Menteri hanya dianggap sebagai retorik kosong dan palsu

BANGI, 30 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Kedatangan delegasi berpangkat tinggi rejim pengganas Israel ke Kuala Lumpur dengan kelulusan visa dikeluarkan Kerajaan Malaysia bukan saja mengejutkan dan dikesali, malah bercanggah dengan pendirian pro Palestin yang jelas yang dibawa kerajaan secara konsisten dalam mana-mana forum antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Palestin-Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan sepatutnya meuar-uarkan kepada rakyat atau menolak penganjuran program itu, jika didesak mengeluarkan visa atau menerima kedatangan delegasi rejim Zionis.

Sambil menyatakan sekretariat itu membantah sekeras-kerasnya kehadiran delegasi rejim berkenaan, beliau berkata, terdapat kempen BDS pada peringkat global yang kuat memboikot Israel atas jenayah dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Malaysia sepatutnya mencerminkan komitmennya yang tegas dan tetap utuh dengan penolakannya untuk membenarkan mana-mana rakyat Israel menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

“Lebih teruk lagi apabila diketahui bahawa Roet juga bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia. Mengalu-alukan mereka adalah pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Lawatan diketuai pegawai diplomatik rejim Zionis, David Roet ke ibu negara beberapa hari lalu bertujuan menyertai World Urban Forum Ke-9 (WUF9) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Malaysia mengeluarkan visa khas kepada delegasi negara terbabit.

“Perkara ini bagi kami mencerminkan percubaan untuk mewujudkan dasar normalisasi dengan Malaysia oleh Israel. Roet menyatakan melalui akaun Twitter miliknya – “Saya mempunyai harapan besar untuk hubungan baik antara kedua-dua negara pada masa akan datang”.

“Kini terdapat pendedahan data rasmi yang diterbitkan pada tahun 2014 oleh Pusat Biro Statistik Israel (CBS) yang membuktikan wujudnya perhubungan perdagangan yang berkembang pesat, tetapi sangat sulit, berjumlah AS$1.5 bilion setahun,” katanya.

Sehubungan itu, Sekretariat Palestin-Malaysia menggesa kerajaan supaya tegas dan teguh dengan pendiriannya terhadap rejim pengganas Israel sebagai sebuah negara haram.

“Pendirian rakyat Malaysia yang mengutuk Israel atas tindakannya melanggar undang-undang antarabangsa sepatutnya dinyatakan secara jelas oleh kerajaan Malaysia dengan menafikan kemasukan delegasi Israel.

“Perhimpunan baru-baru ini yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, pusat pentadbiran, sebagai simbol solidariti bersama rakyat Palestin, kini akan dianggap sebagai retorik kosong dan hubungan bukan diplomatik Malaysia dengan rejim Apartheid Israel akan dilihat sebagai palsu.

“Kami menuntut agar hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel dibatalkan dengan serta-merta sekiranya tidak Malaysia dilihat sebagai melaksanakan dasar hipokritik antara Israel dan Palestin.

“Kami menggesa agar kerajaan Malaysia mengetuai komuniti OIC dan Asean untuk menentang kekejaman oleh kerajaan Israel dan tidak berkompromi dengan sebarang usaha normalisasi yang cuba diwujudkan oleh Israel,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close