Berita Utama

Gondol hutan isu sensitif, naikkan amarah orang Melayu

Pahlawan dulu berjuang elak tanah milik Melayu jatuh ke tangan orang lain

BANGI, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Pihak berwajib harus memberi perhatian terhadap sensitiviti umat Islam dan Melayu supaya tidak terguris melihat betapa mudahnya tanah dijual, selain hasil bumi dibolot rakus oleh kapitalis-kapitalis.

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, sensitiviti itu perlu dijaga kerana perjuangan Melayu mempertahankan negara juga bererti perjuangan mempertahankan tanah dalam negeri.

“Dan inilah yang diperjuangkan oleh pahlawan Melayu dan juga mereka yang dahulu menuntut kemerdekaan supaya tanah orang Melayu tidak terlepas ke tangan bukan Melayu.

“Bila menyentuh bab tanah maka termasuk juga hasil khazanah ke atas tanah atau apa yang ada di bawah tanah. Ini termasuk balak dan minyak,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai imej hutan gondol di Pejabat Hutan Kuantan, Pahang yang tular di media sosial baru-baru ini, yang menjadi tanda tanya masyarakat umum.

Ramai yang tertanya-tanya berikutan terlalu banyak kes pencerobohan hutan di negeri Pahang sehingga integriti pejabat hutan dan kerajaan negeri sering dipersoalkan.

Bimbang dengan perkara itu, Rashidi berkata, pihak berwajib harus peka dan mengambil tindakan tegas sekiranya benar terdapat pencerobohan dan skandal kartel balak di kawasan terbabit.

Katanya, sebelum ini pencerobohan ribuan hektar tanah di negeri Pahang ke tangan orang bukan Melayu bagi membangunkan ladang durian Musang King sudah cukup menaikkan amarah rakyat.

“Setidak-tidaknya jagalah alam sekitar daripada dirosakkan dengan gondolan yang melampau.

“Jika berterusan akan menyebabkan orang seperti saya dan rakan-rakan berasa hampa dan kecewa. Perjuangan kami jadi sia-sia hanya kerana segelintir yang tamakkan duniawi, kaya segera sebanyak yang boleh selama di atas muka bumi ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button