Dunia

Rejim el-Sisi tangkap bekas Ketua Audit Negara

Tentera Mesir tembak mati 12 anggota kumpulan bersenjata di Semenanjung Sinai

KAHERAH, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – Rejim Abdel Fattah el-Sisi hari ini menangkap bekas Ketua Audit Negara Mesir, Hisham Genena, yang juga pembantu kepada bekas Ketua Turus Staff Tentera Darat Mesir, Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan, yang kini dipenjarakan.

Peguam Hashim mengesahkan kepada media tempatan bahawa anak guamnya ditangkap di rumahnya di Kaherah, tengah hari tadi. Bagaimanapun, di mana Hashim berada sekarang tidak diketahui.

Hisham Genena

Hashim membantu Sami Anan dalam kempen pegawai kanan tentera itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Presiden Mesir 2018, sebelum dihentikan akibat ‘gangguan’ pihak tertentu.

Sami Anan yang kini ditahan di penjara tentera, ditangkap atas tuduhan melanggar peraturan ketenteraan dan melakukan hasutan terhadap tentera supaya menentang pemerintahan rejim el-Sisi.

Sementara itu, semalam, tentera rejim Mesir membunuh 12 individu dipercayai anggota militan, selain menangkap lebih 100 orang lagi dalam operasi besar-besaran di utara Semenanjung Sinai, sehari selepas tentera mendakwa menembak mati 16 anggota kumpulan bersenjata di kawasan sama.

Rejim Mesir turut menggunakan pesawat pejuang mengebom 60 sasaran, termasuk kenderaan, depot senjata dan pusat komunikasi yang mereka dakwa dimiliki kumpulan militan.

Sejak Jumaat lalu, tentera rejim el-Sisi melancarkan serangan besar-besaran membabitkan tentera darat, laut dan udara, untuk mendesak kumpulan bersenjata keluar dari Semenanjung Sinai.

Mesir berdepan serangan penentang kerajaan sejak el-Sisi mengetuai tentera merampas kuasa daripada Presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi, pada pertengahan 2013 lalu.

El-Sisi turut mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas. Sejak itu, beberapa pemimpin tertinggi pergerakan berkenaan ditangkap, diseksa dan dihukum mati.

Mesir akan mengadakan pilihan raya Presiden bulan depan. Setakat ini, hanya el-Sisi sahaja yang mengesahkan akan bertanding jawatan yang dipegangnya.

Beberapa pemimpin yang dilihat berupaya memberi tentangan kepada el-Sisi menarik diri daripada pencalonan selepas dikatakan menerima ugutan dan ditangkap. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close