Berita UtamaDunia

PBB desak Israel henti bina penempatan haram Yahudi

Tidak sah di sisi undang-undang, pencabulan hak antarabangsa

NEW YORK, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendesak negara pengganas Israel menghentikan keputusannya pada minggu lalu, yang mahu membina 800 kediaman baharu untuk peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin.

Beliau berkata, keputusan itu adalah halangan terbesar dalam mencapai penyelesaian konflik dua negara, pendamaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh di Timur Tengah.

“Kewujudan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur tidak mempunyai kesahihan undang-undang dan ia adalah pencabulan di bawah undang-undang antarabangsa.

“Perluasan penempatan… menghakis lagi kemungkinan penamatan pendudukan dan penubuhan sebuah negara Palestin berdasarkan garisan sempadan pra-1967,” katanya dalam kenyataan pada Isnin lepas.

Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan sebanyak 780 kediaman untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat selepas diarahkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat, Palestin dianggap sebagai haram oleh kebanyakan komuniti antarabangsa.

Pada masa ini terdapat kira-kira 450,000 pendatang haram Yahudi di Tebing Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button