Berita UtamaUtama

Pemain badminton kena gantung disyaki atur perlawanan: Akhbar

Persekutuan Badminton Dunia pantau pemain berusia 20-an hidup mewah, sebutan kes atur perlawanan di Singapura hujung bulan ini

BANGI, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – Seorang pemain badminton profesional Malaysia berusia dalam lingkungan 20-an dikatakan sedang disiasat oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Akhbar Berita Harian yang memetik sumber mendakwa badan badminton dunia itu sudah menggantung sementara pemain berkenaan bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

Sumber berkenaan memberitahu akhbar itu, BWF memantau pergerakan pemain terbabit yang kali akhir menyertai kejohanan antarabangsa di negara jiran sejak Februari tahun lalu dan tindakan penggantungan diambil awal tahun ini selepas kegiatan mengatur perlawanan semakin ketara.

“BWF sudah memanggil pemain terbabit untuk siasatan lanjut hujung tahun lalu. Badan induk badminton dunia itu kini dikatakan mempunyai bukti mencukupi untuk membuat dakwaan ke atas pemain itu termasuk hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya.

“Daripada telefon bimbitnya itu, BWF mendapati ada kandungan mesej dalam aplikasi Whatsapp yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.

Sumber itu berkata, BWF akan mengadakan sesi sebutan kes di Singapura hujung bulan ini, bagi membolehkan pemain terbabit membela diri terhadap dakwaan mengatur perlawanan.

Difahamkan, BWF mula mengesyaki kegiatan tidak bermoral pemain terbabit berdasarkan gaya hidupnya yang dikatakan mewah.

Malah, berita mengenai skandal membabitkan pemain berkenaan turut menjadi bahan bualan dalam arena badminton tanah air kebelakangan ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai ketika dihubungi mengenai dakwaan ke atas pemain negara berkenaan enggan memberikan sebarang komen.

“Saya tidak boleh komen kerana ini dakwaan yang serius. Saya minta maaf,” kata Chin Chai.

Kes ini adalah yang pertama membabitkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

Mengikut peraturan ditetapkan BWF, mana-mana pemain didapati bersalah terbabit dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan pemain terbabit sedang disiasat oleh BWF.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun berkata, pemain ini bukan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Oleh yang demikian, SPRM akan menjalankan siasatan lanjut kerana ia berkaitan dengan pengaturan perlawanan yang melibatkan rasuah,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close