Berita UtamaUtama

KKM perlu ambil tindakan tegas doula tak bertauliah

BANGI, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – Kementerian Kesihatan perlu segera tampil membendung dakyah menggunakan khidmat doula untuk melahirkan anak tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.

Penulis BH, Norhafzan Jaafar berkata, senario ini sangat membimbangkan kerana semakin ramai yang termakan hasutan doula sehingga berani mengambil risiko bersalin sendirian tanpa pengawasan pakar perbidanan bertauliah.

“Mereka menolak sepenuhnya kaedah rawatan moden masa kini, terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang diburukkan lagi dengan kemunculan kumpulan ‘bidan jadian’ bergelar ‘doula’ atau peneman kelahiran.

“Doula bukan saja semakin menjadi pilihan kebanyakan bakal ibu tetapi lebih teruk, sesetengah daripada mereka mula mengambil alih tugas pakar perubatan dan perbidanan.

“Mereka bukan sahaja agresif membuat promosi menerusi media sosial, tetapi berjaya mempengaruhi ramai bakal ibu untuk menolak kepakaran perubatan moden.

“Apa yang membimbangkan kita apabila tindakan mempromosi kelahiran secara fitrah dan dilakukan di rumah lebih mengundang bahaya kepada ibu dan anak yang bakal dilahirkan,” katanya dalam artikel yang disiarkan di BH Online.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang bayi perempuan yang disambut tanpa kehadiran pakar perubatan di sebuah rumah di Johor Bahru, Johor mati disebabkan sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi itu tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang pada 4 Februari lalu.

Beliau berkata, kelahiran tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.

Mengulas lanjut, Norhafzan berkata, ibu bapa sepatutnya tidak mempertaruhkan nyawa bayi yang bakal dilahirkan apabila lebih percaya ilmu doula yang diperoleh menerusi ‘pengajian’ singkat secara dalam talian.

“Mereka tidak mahu proses bersalin dikendalikan doktor atau pakar yang menimba ilmu perubatan bertahun-tahun di universiti atau diawasi jururawat terlatih.

“Paling teruk, ada sesetengah doula turut menyebarkan dakyah atau amalan seperti melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak segera mengeluarkan uri dan tidak memberi imunisasi kepada bayi.

“Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sudah cukup untuk membuktikan bahawa nyawa adalah paling utama dalam kes melahirkan bayi,” katanya.

Komentar Facebook
Tags
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close