Berita Utama

Syarikat China mohon kelulusan vaksin COVID-19

Bagi bolehkan vaksin dibangun syarikat untuk dipasarkan

ANKARA, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Sebuah syarikat terkemuka China pada Rabu mengumumkan sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan rasmi bagi membolehkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat itu dipasarkan, lapor Agensi Anadolu.

Naib pengurus besar Sinopharm, Shi Shengyi, berkata syarikat itu sudah mengumpulkan data dari negara-negara utama yang menjalankan ujian klinikal ke atas vaksinnya dan hasilnya dijangka memberangsangkan, memetik Global Times.

Terdahulu, syarikat itu mengatakan pihaknya telah menyerahkan data vaksin yang sudah menjalani ujian klinikal Fasa Tiga kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan China dan masih dalam proses memberikan data lebih terperinci.

Menurut syarikat itu persediaan mengenainya kini di tahap akhir sebelum vaksin boleh dipasarkan, keutamaanya sekarang ialah untuk mendapatkan kelulusan. Syarikat dijadual mengeluarkan data Fasa Tiga sebaik mendapat kelulusan.

“Data kami diteliti oleh jabatan yang berkaitan, melalui protokol yang ketat dan kami bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata syarikat itu.

Bulan lalu, China mendakwa ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dijalankan tidak menunjukkan “sebarang kesan buruk”.

China dilaporkan mempunyai 13 vaksin percubaan yang sudah memasuki fasa ujian klinikal, termasuk empat vaksin kini di peringkat Fasa Tiga.

Minggu lalu, pengeluar ubat Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan syarikat bioteknologi Jerman BioNTech mengatakan vaksin mereka mempunyai 95 peratus keberkesanan berbanding anggaran awal 90 peratus.

Sebelum ini, sebuah lagi syarikat ubat AS, Moderna berkata hasil ujian vaksin yang dilakukan mereka mendapati keberkesanannya adalah sebanyak 94.5 peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button