Junta Myanmar laksana perintah berkurung redakan protes
Rakyat marah, bertegas tidak mahu diperintah tentera
YANGON, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Pemimpin junta Myanmar mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung bagi meredakan tindakan penunjuk perasaan di negara itu.
Sekatan itu dilaksanakan setelah tindakan polis melepaskan tembakan meriam air terhadap ratusan penunjuk perasaan di ibu negara, Naypyitaw, yang menuntut tentera mengembalikan kuasa kepada pemerintah terpilih.
Ekoran itu, pemerintah junta menetapkan perhimpunan dan perarakan tidak melebihi lima orang, dan perarakan bermotor adalah dilarang.
Sementara perintah berkurung pula dilaksanakan bermula jam 8 malam hingga 4 pagi untuk kawasan Yangon dan Mandalay, bandar pertama dan kedua terbesar di negara itu, di mana ribuan orang berdemonstrasi sejak Sabtu.
Penunjuk perasaan di Yangon melakukan demonstrasi pada hari Isnin di persimpangan pusat bandar utama dengan menunjukkan tiga jari yang merupakan simbol penentangan dan membawa plakad ‘Tolak rampasan kuasa tentera’ dan ‘Keadilan untuk Myanmar.’
Terdapat juga demonstrasi di bandar-bandar lain di utara, tenggara dan timur negara itu.
Penentangan besar berlaku di Naypyitaw – kebanyakan mereka meluahkan kemarahan kerana rakyat baru mula merasakan demokrasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini setelah lima dekad melalui pemerintahan tentera.
“Kami tidak mahu junta tentera,” kata Daw Moe, seorang penunjuk perasaan di Yangon.
“Kami tidak pernah mahukan junta ini. Tidak ada yang menginginkannya. Semua orang bersedia untuk melawan mereka,” katanya.
Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing dalam ucapan pertamanya sejak rampasan kuasa berkata, junta kali ini adalah berbeza berbanding pemerintahan tentera terdahulu.
Beliau mengulangi bahawa terdapat penyelewengan dalam pilihan raya November lalu yang tidak diendahkan dengan menyatakan tiada organisasi mengatasi undang-undang. – Agensi