Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Wanita tak boleh dipaksa pakai abaya, kata ulama Arab Saudi

RIYADH, 25 Jamadilawal 1439H, Ahad – Seorang ulama Arab Saudi berkata, wanita negara itu tidak sepatutnya dipaksa memakai abaya bagi menutup badan mereka ketika di khalayak.

Anggota kanan majlis ulama Arab Saudi, Sheikh Abdullah al-Mutlaq berkata, lebih 90 peratus wanita solehah di seluruh dunia tidak memakai abaya.

“Jadi kita tidak sepatutnya memaksa wanita memakai abaya,” katanya dalam satu program televisyen negara itu.

Arab Saudi adalah negara yang mempunyai sekatan ketat terhadap wanita, termasuk mewajibkan mereka memakai pakaian yang ditetapkan undang-undang.

Ini adalah ulasan pertama berkaitan pakaian wanita negara itu yang dibuat oleh seorang ulama kanan. Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi belum membuat ulasan mengenainya, sama ada akan mengubah peraturan atau tidak.

Abaya ialah pakaian tradisi bagi wanita Arab, terutama di Negara Teluk. Dinamakan sebagai ‘swaeiyah’ atau ‘daffa’, pada dasarnya ia adalah sehelai kain yang dipakai di luar atau di atas pakaian lain ketika hendak keluar ke tempat awam.

Kebanyakan abaya sekarang semakin mendapat perhatian dunia Islam serta moden, hasil transformasi dilakukan wanita Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum ini, memperkenalkan beberapa pembaharuan membabitkan wanita di negara itu sebagai persiapan berdepan era pasca minyak.

Bulan lalu, Arab Saudi buat pertama kali membenarkan wanita memasuki stadium dan mengikuti perlawanan bola sepak.

Langkah itu dibuat empat bulan selepas negara itu membatalkan pengharaman wanita daripada memandu.

Bagaimanapun, wanita Arab Saudi masih berdepan beberapa sekatan lain, termasuk diwajibkan diiringi ahli keluarga lelaki jika hendak melancong.

Ulasan Sheikh Abdullah mendapat reaksi pelbagai di media sosial, termasuk daripada ulama lain yang menyokong kenyataannya. – Agensi

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close