Berita UtamaUtama

Larangan mercun, bunga api masih berkuat kuasa: PDRM

BANGI, 25 Jamadilawal 1439H, Ahad – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan orang ramai berhubung larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun atau bunga api masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun, PDRM dalam kenyataan berkata, hanya bungai api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ sahaja yang dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan membakar yang membahayakan keselamatan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, meskipun ia dibenarkan, penjualan kedua-dua jenis mercun itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan, mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang memiliki, menjual, membeli atau bermain sebarang mercun serta bunga api, selain daripada yang dibenarkan.

Katanya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya.

“Bermain dan membakar mercun atau bunga api yang dilarang juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu bulan atau didenda sehingga RM100, atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Selain itu, mana-mana pihak yang didapati mengilang, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api tanpa permit boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Serentak itu, PDRM berharap larangan bermain mercun dan bunga api itu dapat dipatuhi semua pihak, demi mengelak daripada berlakunya kecederaan dan kematian, serta punca kebakaran yang boleh memusnahkan harta benda.

 
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close