DuniaPalestinUtama

Hamas tingkat tahap waspada hadapi ancaman rejim Israel

Empat rakyat Palestin terbunuh dalam tunjuk perasaan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat hari ini

GAZA, 25 Jamadilawal 1439H, Ahad – Tatkala empat rakyat Palestin dibunuh askar rejim pengganas Zionis hari ini, sayap ketenteraan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – Briged Al-Qassam – mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan rejim.

Jurucakap Al-Qassam, Abu Obeida berkata, brigade itu menaikkan tahap berwaspada untuk melindungi rakyat Palestin dan bertindak balas terhadap tindakan agresif Zionis di kawasan utara Palestin yang diduduki.

Rejim pengganas Israel hari ini mengumumkan dua juruterbangnya cedera, seorang daripada parah, selepas pesawat F-16 mereka ditembak jatuh oleh tentera rejim Syria di Galilee.

Mengulas perkembangan itu, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, kesiapsiagaan itu adalah langkah biasa terhadap tindakan agresif rejim pengganas Israel di wilayah Syria.

“Adalah menjadi hak mana-mana negara untuk mempertahankan tanah air mereka, keselamatan dan kestabilan rakyat mereka jika diserang,” katanya.

Jet F-16 rejim pengganas Israel ditembak jatuh ketika melakukan serangan di kawasan Bukit Golan, Syria.

Dalam perkembangan lain, empat rakyat Palestin terbunuh selepas ditembak askar rejim pengganas Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, hari ini.

Tunjuk perasaan tercetus di kedua-dua wilayah itu apabila ribuan penunjuk perasaan, terutama golongan muda yang menyertai Intifada bertempur dengan askar rejim Zionis.

Maher Attallah, 54 tahun, dan Mohmoud Abdel Majeed El-Masry, 28 tahun, ditembak mati ketika pertempuran di pusat pemeriksaan Beit Hanoun di utara Gaza dan timur Khan Younis.

Mahmud Al-Eshi, 28 dari Sheikh Redwan dan Mohammed Al-Safadi, 30, dari Al-Daraj, juga terbunuh dalam letupan di kawasan keselamatan di barat Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya, 1,100 penunjuk perasaan dan dua askar rejim cedera dalam pertempuran di 77 kawasan berasingan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, termasuk di Baitulmaqdis, Ramallah, Bethlehem, Qalqiliya, Hebron, Jericho, Salfit, Tulkarm, Jenin dan Nablus. – Agensi

Pemuda Palestin bertempur dengan askar rejim pengganas Israel di Tebing Barat.
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close