Berita Utama

36,729 kertas undi pos dikeluarkan SPR untuk PRN Johor

Pengundi diingat jaga kerahsiaan undi masing-masing

BANGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Sebanyak 36,729 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu meliputi 28,421 kategori Borang 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

Sebanyak 7,814 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B dikeluarkan membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 118 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.

Kertas undi pos berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15.

Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac 2022 dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 56 kawasan DUN.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 12 Mac 2022 (Sabtu),” katanya.

Pada masa sama, Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button