Berita UtamaDunia

Qatar tawar RM35.6 juta bantu Gaza

DOHA, 24 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Qatar menawarkan bantuan berjumlah RM35.6 juta bagi membangunkan semula Gaza, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Gaza yang juga Duta Qatar, Mohammed Al-Emadi.

Katanya, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani telah mengarahkan bantuan kecemasan disalurkan ke Semenanjung Gaza, wilayah yang dikepung rejim pengganas Israel.

“Ini akan membantu rakyat Palestin di Gaza, tatkala kehidupan mereka yang semakin merosot akibat kekurangan bekalan ubat, bahan api untuk hospital dan makanan asas,” katanya.

Satu lawatan akan dibuat ke wilayah yang diduduki di Palestin hujung bulan ini bagi mengatur dan melaksanakan semua arahan Sheikh Tamim, termasuk menyampaikan bantuan yang diperlukan.

“Bantuan itu dapat membantu sektor kesihatan dengan menyediakan bekalan perubatan serta bahan api yang diperlukan bagi menghidupkan penjana elektrik hospital, selain makanan asas,” katanya.

Khamis lalu, Sheikh Tamim bercakap menerusi telefon dengan pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh, lapor agensi berita Qatar, QNA.

Dalam perbualan itu, Haniyeh memberi taklimat perkembangan semasa di Gaza dan memohon bantuan kemanusiaan, khususnya bahan api yang menyebabkan beberapa hospital dan pusat kesihatan terpaksa ditutup.

Sejak beberapa tahun lalu, Qatar melaksanakan projek pembangunan semula kemudahan asas, termasuk jalan raya di Gaza, membabitkan kos hampir setengah bilion dolar Amerika.

Semenanjung Gaza yang dihuni kira-kira dua juta penduduk Palestin berdepan kesukaran berikutan kepungan yang dilakukan rejim pengganas Israel sejak 11 tahun lalu. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close