Berita Utama

Sektor pengangkutan awam perlukan lebih ramai tenaga kerja wanita

 

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) mahu melihat lebih ramai wanita menyertai sektor pengangkutan awam.
Pengarah Latihannya, Kaan Yildizgoz berkata, ini akan menyumbang ke arah persekitaran lebih selamat khususnya bagi wanita yang menggunakan pengangkutan awam.

“Apabila lebih ramai wanita bekerja dalam sektor itu, mereka lebih memahami dan mereka tahu bagaimana untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bagi wanita semasa menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau ditemui Bernama pada prapelancaran kempen bervideo untuk menimbulkan kesedaran tentang keperluan mewujudkan pengangkutan awam dengan persekitaran yang selamat di luar Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9, di sini hari ini.

Memperjuangkan mobiliti bandar yang lestari, pertubuhan yang berpangkalan di Belgium itu mewakili kira-kira 1,500 syarikat dengan 16 pejabat di seluruh dunia merangkumi keanggotaan dari 96 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, suruhanjaya tersebut gembira dapat bekerjasama dengan UITP dan Bank Dunia dalam mengusahakan kempen berkenaan.

Kempen akan dilancarkan di seluruh dunia bersempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac. – Bernama

 

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close