Berita Utama

Anak muda wajib keluar mengundi ubah kepimpinan negara

Penyertaan golongan muda demi masa depan bangsa, negara

Oleh Zuhayati Yazid

SELAMA, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Golongan muda wajib keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), supaya perubahan dapat dilakukan demi masa depan negara yang lebih unggul.

Calon Pejuang di Parlimen Larut, Auzaie Fadzlan Shahidi berkata, inilah masanya untuk anak muda menunjukkan kuasa mereka memilih pemimpin yang lebih berwibawa dan berintegriti.

“Kenapa kita perlu kekalkan orang lama sedangkan mereka memerintah sekian lama pun, banyak masalah tak selesai.

“Jadi kita perlukan perubahan untuk selesaikan masalah tersebut, selain mengembalikan Malaysia menjadi negara hebat,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook BERJASA, malam tadi.

Mengulas lanjut, Auzaie yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar Mesir itu berkata, penyertaan orang muda dalam dunia politik sangat diperlukan demi perubahan untuk bangsa dan negara.

Sekiranya golongan profesional dan anak-anak muda tidak menyertai dunia politik, beliau bimbang individu yang pentingkan kuasa akan kembali memerintah.

“Jika orang baik tidak terlibat dunia politik, maka orang jahat akan menguasai dan perkara itu sangat rugi kepada negara,” katanya.

Justeru beliau yang merupakan anak jati Selama, Perak menggesa supaya pengundi terutama golongan muda memilih Gerakan Tanah Air (GTA) atas dasar perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Beliau menegaskan, penubuhan GTA yang ditunjangi mantan Perdana Menteri – bertujuan melawan parti orang-orang Melayu yang sudah merosakkan negara.

Paling penting, katanya penubuhan tersebut dilakukan demi menjadi bangsa Melayu yang dominan sekali gus dapat membina semula negara yang kuat dan maju.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button