Berita UtamaUtama

Polemik ‘bin, binti Abdullah’ selesai jika mahkamah patuh Fatwa Kebangsaan

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 22 Jamadilawal 1439H, Khamis – Polemik isu anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, masih menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.

Semalam, Mahkamah Persekutuan belum memutuskan sama ada anak luar nikah dibinkan bapanya, terpakai untuk mereka yang beragama Islam, berdasarkan Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Mengulas kemelut isu ini, Pengamal undang-undang, Aidil Khalid berkata, Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan dengan bijaksana peruntukan itu, terutamanya berkenaan dengan istilah ‘surname’ ataupun nama keluarga.

[restrict …]Hal ini kerana, Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memutuskan bahawa nama keluarga di bawah seksyen tersebut turut merangkumi konsep bin dan binti yang menjadi amalan orang-orang Islam yang mengguna pakai nama bapa untuk tujuan penasaban.

“Sedangkan pemakaian nama keluarga atau ‘surname’ tidak semestinya sama dengan bin dan binti terhadap nama ayah. Justeru Mahkamah Persekutuan wajar meneliti isu ini dan menetapkan suatu keputusan untuk rujukan semua,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan berhujah bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengambil tindakan yang munasabah ketika menggunakan ‘Abdullah’ bagi mendaftar nama dalam sijil kelahiran seorang kanak-kanak tidak sah taraf.

Katanya, JPN membuat keputusan itu bersandarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 1981 dan 2003, berhubung penamaan anak tidak sah taraf.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah memutuskan anak tidak sah taraf, sama ada diikuti dengan perkahwinan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah atau lain-lain nama Asma Al-Husna berpangkalkan Abdul.

Aidil berkata, Mahkamah Persekutuan seharusnya memperhalusi dengan cara holistik, kedudukan Fatwa yang dikeluarkan pihak-pihak yang berautoriti, dan duduk letaknya dalam sistem perundangan di negara ini.

Katanya, sungguhpun Fatwa itu ialah pandangan, tetapi ia adalah pandangan yang dikeluarkan oleh mereka yang pakar berkenaan isu yang terlibat, dan dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti.

“Justeru perundangan negara sepatutnya meletakkan kehormatan kepada Fatwa, sebagai sesuatu yang perlu dijadikan rujukan oleh semua pihak-pihak yang terlibat, termasuk tentunya oleh Jabatan Pendaftaran Negara dalam menjalankan amalan pendaftaran nama-nama anak serta penasaban terhadap bapa,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya tertakluk kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 dan tidak terikat dengan fatwa.

Pada 25 Mei tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengumumkan bahawa anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dan kedua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).

[/restrict]

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close